SEOUL: Seorang lagi aktivis Korea Selatan dilaporkan berlepas ke Semenanjung Gaza meskipun kerajaan telah mengenakan larangan perjalanan ke wilayah berkenaan, lapor Agensi Berita Yonhap pada Ahad.
Kejadian itu merupakan insiden kedua seumpamanya yang dilaporkan pada tahun ini.
Aktivis pro-Palestin, Kim Dong-hyeon, memulakan perjalanan ke Gaza pada Jumaat dengan menaiki kapal Kyriakos X, yang merupakan sebahagian daripada flotila bantuan kemanusiaan, menurut Kementerian Luar dan kumpulan sivil yang memperjuangkan pembebasan Palestin.
Susulan itu, kementerian luar dilaporkan merancang untuk mengambil langkah perlu bagi memastikan keselamatan Kim melalui rundingan dengan Kerajaan Israel dan pihak berkuasa lain yang berkaitan.
Rakyat Korea Selatan dilarang sama sekali daripada melancong atau menetap di Semenanjung Gaza tanpa kelulusan kerajaan. Di bawah Akta Pasport, mana-mana individu yang melanggar peraturan itu boleh berhadapan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga 10 juta won (AS$6,800).
Awal bulan ini, seorang lagi aktivis, Kim Ah-hyun, turut dilaporkan menuju ke Gaza walaupun pasportnya telah dibatalkan oleh pihak berkuasa susulan percubaan awal untuk memasuki wilayah itu tanpa kebenaran.
BERNAMA-YONHAP