Skip to main content

Malaysia

Bilangan penyakit tidak berjangkit semakin serius, beban negara meningkat - Dr Dzulkefly

TB_DZULKEFLY AHMAD KKM_AWANI
Dr Dzulkefly ketika memberi ucapan semasa majlis pelancaran buku resipi “Mai Kurang Gula, Garam dan Kalori”, hari ini. -Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Malaysia kini berdepan peningkatan serius penyakit tidak berjangkit (NCD) yang bukan sahaja menjejaskan kesihatan rakyat, malah memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) menunjukkan situasi semakin membimbangkan apabila lebih 500,000 orang dewasa di negara ini hidup dengan sekurang-kurangnya empat penyakit NCD utama secara serentak.

“Seorang daripada enam orang dewasa di Malaysia menghidap diabetes, manakala seorang daripada tiga pula berdepan masalah tekanan darah tinggi.

“Tabiat pemakanan rakyat yang tinggi kandungan gula dan garam terus menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kes penyakit berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran buku resipi “Mai Kurang Gula, Garam dan Kalori”, di sini, hari ini.

Menurut beliau, 47 peratus orang dewasa mengambil gula melebihi paras disyorkan, iaitu lebih 7.5 sudu teh sehari, yang kebanyakannya berpunca daripada pengambilan minuman bergula.

Selain itu, tiga daripada empat orang dewasa turut didapati mengambil garam secara berlebihan dengan purata 7.3 gram sehari, jauh melebihi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kurang daripada lima gram sehari.

Beliau menegaskan isu berkenaan tidak boleh lagi dilihat sebagai masalah kesihatan individu semata-mata, sebaliknya merupakan ancaman besar kepada kesejahteraan ekonomi negara.

“Situasi ini bukan sekadar isu kesihatan peribadi, tetapi merupakan bom jangka kepada ekonomi negara.

“Penyakit tidak berjangkit dianggarkan menelan kos sebanyak RM64.2 bilion setahun,” ujarnya.

Daripada jumlah itu, kos rawatan kesihatan secara langsung mencecah RM12.4 bilion, manakala kos tidak langsung seperti kematian pramatang, ketidakhadiran bekerja serta penurunan produktiviti akibat penyakit dianggarkan sebanyak RM51.8 bilion.

“Beban sebenar NCD adalah jauh lebih besar daripada apa yang dilihat di hospital dan klinik,” katanya lagi.

 

Must Watch Video