Skip to main content

Malaysia

Bicara kes salah guna kuasa, pengubahan wang haram Muhyiddin bermula esok

71757402103_TBMuhyiddin.jpg
Kira-kira 30 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes Muhyiddin itu. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pertuduhan menyalahgunakan kedudukan melibatkan suapan berjumlah RM232.5 juta dan menerima wang RM200 juta hasil aktiviti haram bermula esok di Mahkamah Tinggi, di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata prosiding kes itu akan bermula pada 9 pagi di hadapan Hakim Noor Ruwena Md Nurdin.

“Perbicaraan akan bermula dengan pihak pendakwaan menyampaikan kenyataan pembukaan yang menggariskan pertuduhan serta bukti terhadap tertuduh dan dua saksi akan memberi keterangan esok,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada 10 Nov tahun lepas, Hakim Noor Ruwena menetapkan 29 hari untuk perbicaraan kes itu yang dijadualkan pada 9 hingga 11 Mac; 13, 16, 28 dan 29 April; 25 dan 26 Mei; 6 hingga 10, 13 hingga 17 serta 27 hingga 29 Julai, dan bersambung pada 17 hingga 21 dan 26 serta 27 Ogos 2026.

Kira-kira 30 saksi pendakwaan akan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Pada 7 Okt 2025, Jabatan Peguam Negara menolak representasi Muhyiddin bagi menggugurkan tujuh pertuduhan terhadapnya.

Muhyiddin, 78, yang ketika kejadian memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Beliau juga berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video