MEKAH: Ketika ribuan tetamu ALLAH menanti saat melangkah ke bumi suci dengan hati berdebar dan penuh harapan, segala urusan kecil yang sering dianggap remeh sebenarnya mampu menentukan tahap keselesaan mereka.
Dari beg yang sudah tersedia di depan bilik hinggalah petugas yang menanti di pintu lif, setiap persiapan di Maktab dilakukan dengan teliti supaya jemaah boleh tiba dengan tenang dan terus memberi tumpuan kepada ibadah.
Penolong Pengurus Maktab 63 di Hotel Al-Tayseer, Muhammad Fauzi Muniran berkata, pihaknya kini bersedia sepenuhnya menerima ketibaan seramai 260 jemaah haji Malaysia dari Madinah dalam kumpulan KT1 yang dijadual tiba pada jam 4 petang.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan jemaah yang akan diuruskan di maktab berkenaan ialah seramai 420 orang.
Katanya, antara keutamaan utama pasukan pengurusan adalah memastikan jemaah tidak terbeban sebaik tiba selepas melalui perjalanan jauh dari Madinah.
“Alhamdulillah, kami telah membuat persiapan awal termasuk menyusun semua beg jemaah di luar bilik masing-masing mengikut tag dan kapasiti bilik.
“Maknanya apabila jemaah sampai nanti, mereka tidak perlu mengangkat beg dari jauh kerana semuanya sudah tersedia di hadapan bilik,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi membantu jemaah terutama warga emas dan mereka yang keletihan selepas perjalanan darat.
Dalam masa sama, susunan bilik turut dibuat secara terancang bagi menjamin keselesaan penghuni sepanjang berada di Tanah Suci.
Muhammad Fauzi berkata, Maktab 63 mempunyai tiga jenis bilik berkapasiti tiga, empat dan lima orang, dengan kira-kira 70 peratus bilik berkapasiti empat orang.
Menurutnya, pihak pengurusan juga meneliti senarai penempatan jemaah lebih awal, khususnya bagi mereka yang datang bersama ahli keluarga.
“Kami akan semak senarai lokasi lebih awal. Jika ada jemaah datang bersama keluarga seperti ayah, ibu dan anak, kami akan pastikan mereka ditempatkan di aras yang sama walaupun berlainan jantina.
“Bila berada di tingkat yang sama, lebih mudah untuk mereka saling membantu dan berhubung,” katanya.
Beliau berkata, aspek sensitiviti jantina turut diberi perhatian termasuk susunan bilik yang sesuai antara jemaah lelaki dan wanita.
“Contohnya, kami tidak mahu jemaah wanita keluar bilik dan berhadapan terus dengan bilik jemaah lelaki. Perkara seperti ini nampak kecil, tetapi penting untuk keselesaan semua pihak,” ujarnya.
Selain penempatan, semua kemudahan asas di bangunan berkenaan turut diperiksa lebih awal bagi mengelakkan sebarang masalah selepas jemaah tiba.
Katanya, semua penghawa dingin telah dihidupkan sejak awal pagi bagi memastikan sistem berfungsi baik dan tiada kebocoran.
Pemeriksaan sama turut melibatkan sistem elektrik, soket dan bekalan air.
“Kami mahu pastikan bila jemaah masuk ke bilik, semuanya dalam keadaan baik dan boleh terus digunakan tanpa sebarang masalah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, aliran ketibaan jemaah juga telah disusun dengan teratur bermula sebaik bas berhenti di hadapan hotel.
Menurutnya, beliau bersama pengurus maktab akan memberi taklimat ringkas kepada jemaah, manakala bagasi tangan diletakkan di lobi mengikut bas masing-masing sebelum jemaah terus dibantu ke tingkat penginapan.
“Petugas kami ditempatkan dari lobi, kawasan lif hingga ke tingkat 10 dan 11 bagi membantu jemaah.
“Insya-Allah, mereka tidak perlu risau dan tak akan sesat kerana semua laluan telah disediakan dengan bantuan petugas,” katanya.
Muhammad Fauzi berkata, walaupun hanya berbaki beberapa jam sebelum ketibaan jemaah, pasukannya masih melakukan semakan akhir demi memastikan semuanya berjalan lancar. - Sinar Harian