Skip to main content

Malaysia

PDRM berkas penjenayah warga Jepun selepas tujuh tahun diburu, dihantar pulang ke negara asal

71762706347_MKUMAR.jpg
Menurut Kumar, tindakan itu dilaksanakan pada Jumaat oleh Bahagian NCB/Interpol (D12), JSJ Bukit Aman, susulan permohonan bantuan daripada pihak berkuasa Jepun. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan dan mengusir seorang penjenayah buruan warga Jepun yang terlibat dalam kes pembunuhan di negara asalnya pada 2018, selepas tujuh tahun melarikan diri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, tindakan itu dilaksanakan pada Jumaat oleh Bahagian NCB/Interpol (D12), JSJ Bukit Aman, susulan permohonan bantuan daripada pihak berkuasa Jepun.

Menurut beliau, suspek turut tersenarai dalam Notis Merah (Red Notice) Interpol, sekali gus menjadikannya individu buruan antarabangsa.

“Siasatan mendapati suspek sebelum ini ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah atas kesalahan di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Bagaimanapun, suspek didapati telah mengubah identiti dan kewarganegaraan kepada warga Myanmar bagi mengelak dikesan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, hasil siasatan saintifik dan forensik berjaya mengesahkan identiti sebenar suspek melalui perbandingan cap jari dan pengecaman wajah.

"Selain itu, pemprofilan DNA yang dihantar ke Bahagian Forensik DNA Databank Malaysia (D13), JSJ Bukit Aman turut menunjukkan padanan positif dengan profil DNA yang diperoleh dari Jepun.

"Suspek sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Alor Setar pada 27 Ogos 2025 dan dijatuhkan hukuman penjara bagi beberapa kesalahan berkaitan dadah dan imigresen," ujarnya.

Dalam pada itu, Kumar berkata, kejayaan operasi tersebut mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam membanteras jenayah rentas sempadan serta memperkukuh kerjasama keselamatan di peringkat antarabangsa.

“Tindakan ini membuktikan Malaysia tidak akan menjadi tempat perlindungan kepada mana-mana individu yang cuba melarikan diri daripada proses keadilan jenayah,” katanya.

 

 

 

 

Must Watch Video