Skip to main content

Malaysia

Bapa didakwa bunuh bayi perempuan berusia dua bulan di Labuan

61589958072_DeraBayi.jpg
Hasil bedah siasat mendapati bayi itu mengalami kecederaan serius di kepala akibat hentakan objek tumpul selain beberapa patah tulang rusuk. -Gambar hiasan

LABUAN: Seorang lelaki berusia 37 tahun didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh bayi perempuannya berusia dua bulan di sebuah rumah di Kampung Bukit Kuda, awal bulan ini.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Azmi Amat selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Melissa Chia Pui Fung.

Mengikut fakta kes, kejadian terbongkar selepas polis menerima maklumat daripada Hospital Labuan kira-kira 2.40 pagi pada 9 Mei berhubung seorang bayi perempuan berusia dua bulan yang dibawa ke hospital kerana disyaki menjadi mangsa penderaan.

Bayi itu kemudian meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Hasil bedah siasat mendapati bayi itu mengalami kecederaan serius di kepala akibat hentakan objek tumpul selain beberapa patah tulang rusuk.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan, jika tidak dijatuhi hukuman mati, sebatan tidak kurang daripada 12 kali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 23 Jun depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement