Skip to main content

Malaysia

Malaysia pastikan dasar tenaga berkembang seiring perubahan industri global - Fadillah

Fadillah Yusof
Fadillah menghadiri sesi libat urus CRESS melibatkan kira-kira 200 peserta di Dewan Baiduri, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), di Putrajaya. - Foto FB Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memastikan dasar tenaga dan kerangka kawal selia negara berkembang seiring dengan perubahan trend ekonomi dan industri global, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata usaha itu penting bagi memenuhi peningkatan permintaan terhadap bekalan elektrik hijau, khususnya daripada syarikat multinasional, pusat data, industri elektrik dan elektronik (E&E), sektor pembuatan berteknologi tinggi serta perniagaan berorientasikan eksport.

Beliau berkata kerajaan menyedari agenda peralihan tenaga kini bukan lagi sekadar berkaitan alam sekitar, sebaliknya turut melibatkan aspek daya saing ekonomi, pelaburan berkualiti tinggi, pembangunan industri, keselamatan tenaga serta ketahanan negara.

“Dasar tenaga negara berpandukan prinsip ‘trilemma tenaga’ yang merangkumi keselamatan tenaga, kemampuan kos dan kelestarian alam sekitar.

“Kerajaan perlu memastikan pelaksanaan peralihan tenaga dilaksanakan secara seimbang tanpa menjejaskan kestabilan grid serta tanpa membebankan pengguna secara tidak perlu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Pada masa sama, Fadillah berkata pendekatan pasaran yang lebih inovatif, fleksibel dan mesra pelaburan perlu diperkenalkan bagi mencapai aspirasi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), iaitu mencapai kapasiti tenaga boleh baharu sebanyak 70 peratus menjelang 2050 selain dasar untuk tidak membangunkan loji jana kuasa arang batu baharu pada masa hadapan.

Dalam konteks berkenaan, beliau berkata Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) yang diperkenalkan pada 26 Julai 2024 di bawah inisiatif GREENS MADANI merupakan antara inisiatif strategik kerajaan bagi memperluas akses kepada elektrik hijau melalui pendekatan open access dengan menggunakan infrastruktur grid nasional sedia ada.

"Melalui kerangka ini, pengguna korporat dapat memperoleh bekalan elektrik tenaga boleh baharu secara terus daripada pemaju tenaga boleh baharu tanpa memerlukan infrastruktur penghantaran persendirian khusus.

"Kerajaan juga melihat CRESS bukan sekadar sebagai satu program tenaga boleh baharu, malah sebagai pemangkin ekonomi penting yang menyokong pelaburan hijau, komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), usaha penyahkarbonan korporat, pertumbuhan ekonomi digital serta daya saing serantau Malaysia untuk jangka panjang," katanya.

Terdahulu, Fadillah menghadiri sesi libat urus CRESS melibatkan kira-kira 200 peserta di Dewan Baiduri, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), di Putrajaya.

Beliau berkata kehadiran dan penyertaan yang amat menggalakkan dalam sesi berkenaan mencerminkan komitmen semua pihak dalam menyokong agenda peralihan tenaga negara serta pembangunan ekosistem tenaga hijau yang lebih progresif dan mampan.

"Sesi libat urus hari ini turut membincangkan pelbagai perkara penting termasuk kesiapsiagaan grid, Battery Energy Storage Systems (BESS), pembiayaan projek, struktur kos, pertimbangan kawal selia serta hala tuju jangka panjang pasaran tenaga hijau korporat Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement