Skip to main content

Malaysia

65 peratus kawasan sawah di Kedah sedia untuk penanaman padi selepas Aidiladha

PUTRAJAYA, 25 Mei -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu merasmikan Pusat Informasi Pertanian Kebuniti (Gardentopia) di Wisma Tani hari ini._BERNAMA
Mohamad merasmikan Pusat Informasi Pertanian Kebuniti (Gardentopia) di Wisma Tani hari ini. - Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Sebanyak 65 peratus kawasan sawah seliaan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Kedah kini bersedia untuk musim penanaman padi, dengan pesawah dijangka mula menabur benih selepas Aidiladha.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata tinjauan semasa beliau ke Perlis semalam mendapati kawasan sawah telah mula menerima bekalan air sekali gus memberi keyakinan proses penanaman boleh diteruskan selepas hari raya itu.

“Air di petak telah ada (dan) air empangan telah mula meningkat. Saya yakin mereka dapat lakukan (penanaman) pada masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pusat Informasi Pertanian Kebuniti atau Gardentopia, sebuah model kebun komuniti berkonsepkan rooftop garden di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya laporan berita semalam, bahawa hanya 10 peratus daripada 56,000 pesawah di Kedah termasuk di kawasan MADA memulakan aktiviti penanaman padi setakat ini, manakala bakinya menangguhkan aktiviti itu berikutan kebimbangan terhadap keadaan cuaca.

Mohamad berkata kebimbangan pesawah itu berasas memandangkan perubahan cuaca yang tidak menentu boleh menjejaskan hasil tanaman.

Berhubung kebimbangan pesawah terhadap peningkatan kos operasi, Mohamad berkata kerajaan sentiasa mengambil maklum perkara itu dan telah menyalurkan bantuan berkaitan kerja pembajakan serta input pertanian.

Mengenai Gardentopia, Mohamad berkata inisiatif itu merupakan simbol komitmen kerajaan untuk memperluas agenda keterjaminan makanan negara melalui penglibatan komuniti dan penjawat awam.

Inisiatif itu juga selari dengan aspirasi kementerian membudayakan pertanian domestik dan memperkasakan amalan bercucuk tanam dalam kalangan rakyat menerusi Kempen Kebun di Rumah Sendiri (KENDIRI) dengan slogan “Tanam Apa Yang Kita Makan, Makan Apa Yang Kita Tanam”.

“Selain menggalakkan rakyat menghasilkan makanan sendiri secara lestari bagi menjimatkan kos sara hidup, pendekatan pertanian bandar dan kebuniti dilihat sebagai antara langkah strategik dalam mendepani pelbagai cabaran termasuk krisis bekalan global, inflasi makanan, gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan ekonomi dunia,” katanya.

Mohamad berkata pembangunan Gardentopia turut mencerminkan evolusi transformasi pertanian bandar negara yang telah melalui enam fasa penting bermula dengan Rancangan Buku Merah pada 1960, Rancangan Buku Hijau (1974), Program Bumi Hijau (2006), Program Pertanian Bandar (2014), Program Pembangunan Pertanian Komuniti (2021-2025) yang kini diteruskan menerusi Program Pengukuhan dan Kemampanan Komuniti Pertanian (2026-2030) dengan peruntukan RM30 juta.

Gardentopia yang terletak di Rooftop Podium 1, Wisma Tani di sini berfungsi sebagai pusat rujukan, informasi dan hab latihan teknikal pertanian kebun boleh makan (edible garden), khususnya dalam mengoptimumkan aktiviti pertanian di ruang terhad.

Kemudahan itu menyediakan platform pembelajaran interaktif serta latihan amali kepada golongan sasar dan masyarakat awam yang berminat mendalami ilmu pertanian bandar berkonsepkan kebun boleh makan dalam tempoh singkat.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement