KUALA LUMPUR: Kredibiliti institusi Malaysia kekal menjadi kelebihan daya saing utama dalam landskap pensijilan halal global, disokong oleh sistem pensijilan halal yang dibangunkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan diiktiraf antarabangsa, kata BMI, sebuah unit Fitch Solutions.
Dalam satu kenyataan, BMI berkata JAKIM diiktiraf secara meluas sebagai penanda aras halal kerana ketelitian, konsisten dan kematangan operasinya.
Selain itu, pengaruh Malaysia tersebut berpunca daripada persepsi bahawa sistem pensijilannya yang secara teknikalnya boleh dipercayai, diurus secara profesional dan jelas di peringkat antarabangsa.
Katanya, Malaysia turut menerima manfaat daripada asas pengguna yang agak mewah, dengan 47.6 peratus daripada isi rumahnya diunjurkan memperoleh pendapatan melebihi US$25,000 pada 2026, lebih tinggi berbanding pasaran membangun majoriti Islam seperti Türkiye (25.9 peratus) dan Indonesia (9.6 peratus).
“Selain itu, Malaysia mempunyai ekosistem halal yang lebih meluas yang merangkumi kewangan Islam, pelancongan, farmaseutikal dan pembuatan berorientasikan eksport,” katanya.
Malaysia telah mengambil langkah awal untuk memformalkan tadbir urus halal, dengan pensijilan halal yang diiktiraf oleh negeri diperkenalkan di peringkat kebangsaan pada 1994, ketika itu di bawah Bahagian Makanan dan Produk Pengguna Islam JAKIM.
Sebagai perbandingan, tidak lama kemudian beberapa negara majoriti Islam lain turut membangunkan rangka kerja halal yang kukuh atau menerima pakai pendekatan yang lebih tidak berpusat.
Contohnya, Indonesia sejak sekian lamanya telah mewujudkan ekosistem halal menerusi Majlis Ulama Indonesia (MUI), tetapi kemudiannya beralih kepada rangka kerja pimpinan negeri yang lebih formal di bawah Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH), selepas ia ditubuhkan secara rasmi pada 2017.
Sementara itu, dalam pasaran global yang tidak menentu, negara dan syarikat sering mencari pensijilan yang dipercayai secara meluas, dan Malaysia telah berjaya menjadikan sistem pensijilannya bernilai secara komersial melangkaui sempadannya sendiri.
“Kelemahan Malaysia ialah kekurangan kuasa paksaan dalam pasaran domestik yang sangat besar.
“Pensijilannya mungkin diiktiraf secara meluas, tetapi ia tidak boleh memaksa firma antarabangsa untuk menyelaraskan diri dengan cara yang sama seperti Indonesia melalui saiz permintaan yang besar.
“Malaysia juga beroperasi dalam sistem di mana badan pensijilan yang sangat dihormati pun tidak mendapat pengiktirafan sejagat,” katanya.
Di peringkat global, BMI berkata ekonomi halal telah berkembang daripada isu pematuhan agama yang khusus kepada sistem perdagangan dan kawal selia antarabangsa yang utama, dengan makanan serta minuman halal kekal sebagai segmen terbesar dan paling maju.
Sementara itu, perbelanjaan makanan dan minuman halal dijangka meningkat daripada US$1.3 trilion pada 2026 kepada US$1.8 trilion menjelang 2030, sebahagian besarnya didorong oleh pengembangan ekonomi yang kukuh dalam pasaran majoriti Islam.
Bagaimanapun, sistem pensijilan masih tidak menentu merentasi negara dan badan pensijilan, sekali gus menimbulkan kerumitan kepada peruncit, pengilang dan pengeksport, serta meningkatkan kos dan memperlahankan kemasukan pasaran.
-- BERNAMA