PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengembalikan hukuman penjara tujuh tahun ke atas bekas pekerja kilang yang mengaku bersalah merompak seorang wanita, setelah memutuskan kesalahan dilakukan secara melulu dan membahayakan orang awam wajar menerima hukuman berat.
Hakim Datuk Noorin Badaruddin yang mengetuai panel tiga hakim berkata kesalahan ragut dan rompak menggunakan motosikal telah menjadi semakin berleluasa dan terus menimbulkan ketakutan serta rasa tidak selamat dalam kalangan orang awam, terutamanya wanita dan pengguna jalan raya yang mudah terdedah.
“Mahkamah telah secara konsisten mengiktiraf bahawa kesalahan seperti ini bukan sekadar perbuatan mencuri yang terpencil, tetapi kesalahan yang menjejaskan keyakinan orang awam terhadap keselamatan di tempat awam,” katanya semasa menyampaikan keputusan itu ke atas Annuar Jalie.
Panel hakim yang dianggotai Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Seri Mohd Radzi Harun membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengurangkan hukuman penjara terhadap Annuar daripada tujuh tahun kepada empat tahun dan enam bulan.
Noorin berkata hukuman penjara yang berat perlu bukan sahaja untuk menghukum responden (Annuar) tetapi juga sebagai mesej yang jelas bahawa kesalahan yang membahayakan orang awam dengan cara melulu akan membawa hukuman berat.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam mengurangkan hukuman dengan tidak memberi pertimbangan yang mencukupi terhadap berat kesalahan dilakukan dan risiko ditimbulkan melalui tindakan responden.
Noorin berkata responden melakukan kesalahan itu pada awal pagi di kawasan perumahan awam terhadap mangsa yang sedang membonceng motosikal dan perbuatannya menarik beg mangsa semasa kedua-dua kenderaan itu bergerak menimbulkan risiko kecederaan serius, bukan hanya kepada mangsa tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.
“Akibat daripada perbuatan Annuar adalah serius kerana sebarang ketidakseimbangan atau hilang kawalan secara tiba-tiba boleh menyebabkan mangsa tercampak ke jalan raya yang boleh mendatangkan kecederaan atau kematian,” katanya.
Beliau berkata hakim Mahkamah Sesyen bertindak betul apabila menganggap kesalahan itu sebagai satu kesalahan yang memerlukan hukuman penjara yang tegas untuk mencerminkan bahaya semasa jenayah itu dilakukan.
Noorin berkata hakim Mahkamah Tinggi telah memberi penekanan berlebihan terhadap pengakuan bersalah Annuar yang walaupun satu faktor mitigasi, namun tidak menjamin pengurangan hukuman secara automatik dan seharusnya bergantung kepada fakta serta keadaan setiap kes.
Beliau berkata bagi kesalahan melibatkan rompakan dan keselamatan awam, prinsip pencegahan, perlindungan awam serta retribusi mesti kekal sebagai pertimbangan utama.
Pengakuan bersalah responden, menurut Noorin tidak boleh dianggap sebagai menunjukkan penyesalan luar biasa yang menjamin pengurangan hukuman dan menambah Mahkamah Tinggi telah gagal untuk mengambil kira responden cuba mengelak daripada ditangkap semasa melakukan kesalahan itu.
“Penyesalan yang sebenar mesti dinilai secara keseluruhan keadaan dan tidak hanya disimpulkan daripada pengakuan bersalah,” katanya dan menambah hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Sesyen mencerminkan ciri memberatkan yang wujud dalam kes itu termasuk risiko ditimbulkan kepada keselamatan awam dan kekerapan kesalahan serupa berlaku.
Pada 12 Mac tahun lepas, Annuar, 41, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen atas kesalahan merompak beg Nur Antasya Aireen Adnan yang mengandungi beberapa barangan termasuk kad ATM dan telefon bimbit pada 5.30 pagi 17 Feb tahun lepas di Jalan Ayu 17, Taman Pelangi Indah, Ulu Tiram, Johor.
Dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan.
Pada 15 Okt tahun sama, Mahkamah Tinggi mengurangkan hukuman penjara itu kepada empat tahun enam bulan bermula dari tarikh tangkap pada 17 Feb 2025 namun mengekalkan tiga sebatan, menyebabkan pihak pendakwaan merayu terhadap tempoh penjara itu.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Shamala Jaganathan mewakili pihak pendakwaan manakala Annuar diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Collin Andrew.
-- BERNAMA