Skip to main content

Malaysia

Ahli perniagaan didakwa tujuh pertuduhan terima RM128.34 juta hasil aktiviti haram

71743102937_courtgavel.jpg
Semalam, Shailen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan bersubahat menggunakan dokumen palsu berhubung pinjaman berjumlah RM400 juta. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tujuh pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM128.34 juta antara 2012 dan 2013.

P Shailen, 58, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketujuh-tujuh pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, lelaki itu didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4,949,965.99, RM4,749,966.01, RM5,299,966, RM2,299,964.69, RM29,696,330.51, RM38,281,920.56 dan RM43,060,576.35 daripada akaun bank milik syarikat Paneagle Infratek Sdn Bhd ke akaun bank syarikat Primawin Limited milik tertuduh.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Subang Jaya, Selangor antara 11 Julai 2012 hingga 20 Nov 2013, mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum 15 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Awang Kerisnada membenarkan jaminan RM100,000 untuk kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur diguna pakai bagi kes di Mahkamah Shah Alam berserta syarat tambahan tertuduh melaporkan diri dua bulan sekali di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain tidak mengganggu saksi pendakwaan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Hakim itu turut memerintahkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan 11 Jun ditetapkan untuk sebutan kes di mahkamah berkenaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzati Sapifee manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hafizuddin Salehuddin.

Semalam, Shailen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan bersubahat menggunakan dokumen palsu berhubung pinjaman berjumlah RM400 juta.

Mengikut pertuduhan, Shailen didakwa bersubahat dengan Ranjeet Singh Sidhu, 56, menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu Joint Completion Guarantee di antara V Telecoms Berhad dengan Huawei Technologies Co. Ltd. bertarikh 21 Jun 2012.

Ia sebagai memenuhi syarat kelulusan bagi permohonan pinjaman berjumlah RM400 juta daripada sebuah bank untuk membiayai projek To develop a coastal network which consist of fibre optic network around Peninsular Malaysia, yang tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai ia adalah dokumen palsu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Sultan Ismail di sini pada 29 Jun 2012, dan pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 471 dan 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

Must Watch Video