GEORGE TOWN: Sebanyak 1,429 pegawai kanan dan anggota rendah Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikenakan tindakan tatatertib termasuk 134 dibuang kerja sepanjang tahun lepas.
Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata PDRM tidak sesekali berkompromi terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang didapati melakukan kesalahan, sebaliknya tindakan tegas akan diambil bagi memastikan integriti pasukan terus terpelihara.
“Daripada 1,429 pegawai dan anggota polis itu, 819 dikenakan amaran, 211 denda, 190 lucut hak emolumen, 18 tangguh pergerakan gaji, 34 turun gaji, 23 turun pangkat dan 134 dibuang kerja,” katanya selepas menghadiri Forum Perdana Pertubuhan Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata kesalahan yang direkodkan melibatkan pelbagai bentuk salah laku dengan jumlah tertinggi berkaitan integriti, iaitu 1,072 kes, diikuti jenayah (98), penyalahgunaan dadah (95), tadbir urus (91), syariah (40) dan rasuah (33 kes).
Ayob Khan berkata meskipun jumlah pegawai dan anggota yang dikenakan tindakan itu kecil berbanding keseluruhan kira-kira 130,000 kekuatan pasukan, namun ia tetap memberi impak besar terhadap imej PDRM.
“Mungkin jumlahnya hanya sekitar satu peratus tetapi impaknya besar kerana golongan kecil inilah yang boleh mencemarkan imej serta menjejaskan segala usaha dan pencapaian baik yang telah dilakukan pasukan, sebab itu tindakan tegas perlu diambil tanpa kompromi,” katanya.
Beliau berkata PDRM mempunyai mekanisme siasatan dalaman melalui Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, selain pemantauan pihak luar menerusi Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) di bawah Kementerian Dalam Negeri.
“Justeru, orang awam yang tidak berpuas hati terhadap hasil siasatan dalaman polis boleh mengemukakan aduan kepada IPCC,” katanya.
Ayob Khan juga menegaskan integriti adalah asas utama dalam memastikan kepercayaan rakyat terhadap pasukan keselamatan itu terus terpelihara, selain menjadi tonggak kepada keberkesanan sesebuah organisasi.
Beliau berkata dalam era teknologi masa kini, sebarang salah laku mudah dirakam dan ditularkan, sekali gus menuntut setiap anggota mempamerkan tahap integriti yang tinggi dalam setiap tindakan.
-- BERNAMA