Skip to main content

Dunia

Trump dakwa AS sekat Selat Hormuz, Iran mahu laluan dibuka

A map showing the Strait of Hormuz and a 3D-printed miniature model depicting U.S. President Donald Trump are seen in this illustration taken March 23, 2026. REUTERS/Dado Ruvic/Illustration
Trump berkata Iran tidak mahu selat berkenaan ditutup kerana ia memberi pulangan besar kepada negara itu. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa tentera laut AS telah “menyekat sepenuhnya” Selat Hormuz, sambil berkata Iran sebenarnya mahu laluan perkapalan strategik itu dibuka demi kepentingan ekonominya sendiri.

Dalam beberapa kenyataan terbaharu di platform Truth Social, Trump berkata Iran tidak mahu selat berkenaan ditutup kerana ia memberi pulangan besar kepada negara itu.

Menurutnya, Iran boleh memperoleh sehingga AS$500 juta sehari melalui laluan tersebut, dan sedang mengalami kerugian besar apabila selat itu tidak beroperasi seperti biasa.

“Iran hanya mengatakan mereka mahu Selat Hormuz ditutup kerana saya telah menyekatnya sepenuhnya,” tulis Trump, sambil mendakwa pendirian Tehran itu sekadar bertujuan menjaga maruah atau “menyelamatkan muka”.

Trump turut mendakwa bahawa beberapa pihak telah berjumpa dengannya empat hari lalu dan menyampaikan mesej bahawa Iran mahu Selat Hormuz dibuka segera.

Namun, beliau berkata membuka semula laluan itu tanpa syarat akan menjejaskan peluang untuk sebarang perjanjian dengan Tehran.

“Jika kita berbuat demikian, tidak akan ada perjanjian dengan Iran, kecuali jika kita memusnahkan baki negara mereka, termasuk kepimpinan mereka,” tulis Trump, dalam kenyataan bernada keras yang sekali lagi mencetuskan kebimbangan antarabangsa.

Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia, menyalurkan sebahagian besar eksport minyak dan gas global.

Dakwaan Trump itu hadir ketika ketegangan maritim antara AS dan Iran terus meningkat, walaupun Washington sebelum ini mengumumkan lanjutan gencatan senjata.

Tehran setakat ini belum memberikan reaksi rasmi terhadap kenyataan terbaharu Trump.

Penganalisis memberi amaran bahawa retorik keras dari kedua-dua pihak berisiko meningkatkan lagi ketidaktentuan di rantau tersebut, dengan implikasi besar terhadap keselamatan dan pasaran tenaga global.
 

Must Watch Video