Skip to main content

Dunia

Tiga dimasukkan ke hospital selepas penerbangan ke Sydney dilanda gelora udara

71717387343_Airplane.jpg
Penerbangan Delta 41 dari Los Angeles mengalami gelora udara seketika ketika menghampiri Sydney. - Gambar hiasan

SYDNEY: Tiga individu dimasukkan ke hospital selepas sebuah penerbangan Delta Air Lines ke Sydney pada pagi Jumaat dilanda gelora udara kuat, lapor Xinhua.

Paramedik ambulans dikerahkan ke Lapangan Terbang Sydney untuk menyambut ketibaan penerbangan Delta 41 pada 6.48 pagi waktu tempatan pada Jumaat.

Stesen radio Sydney 2GB melaporkan bahawa penerbangan itu, yang berlepas dari Los Angeles kira-kira 10.10 malam waktu tempatan pada Rabu, dilanda gelora udara kuat yang menyebabkan kru dan penumpang terlambung-lambung dari tempat duduk masing-masing.

Lima individu menerima rawatan daripada paramedik ambulans di Lapangan Terbang Sydney manakala tiga kru dibawa ke hospital dengan cedera ringan.

Jurucakap syarikat penerbangan itu memberitahu Australian Broadcasting Corporation bahawa seramai 245 penumpang berada dalam pesawat berkenaan.

“Penerbangan Delta 41 dari Los Angeles mengalami gelora udara seketika ketika menghampiri Sydney,” kata jurucakap itu.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video