BANGKOK: Thailand merampas dan membekukan aset bernilai lebih 20 bilion baht (RM2.48 bilion) yang dikaitkan dengan rangkaian penipuan transnasional, menandakan tindakan keras utama terhadap jenayah siber merentas sempadan.
Kes itu melibatkan ramai individu yang beroperasi merentas sempadan, dengan pihak berkuasa mendedahkan kaitan kewangan kompleks yang terikat dengan rangkaian tersebut.
Jurucakap kerajaan Ratchada Thanadirek berkata Perdana Menteri Anutin Charnvirakul telah menetapkan pencegahan dan pembasmian jenayah berkaitan teknologi sebagai "agenda nasional".
Langkah itu, katanya, adalah selaras dengan kenyataan dasar yang dibentangkan di parlimen, bertujuan memperkukuh usaha menentang jenayah siber dan pengubahan wang haram di samping membina keyakinan awam dan antarabangsa.
“Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada agensi berkaitan atas usaha penyelarasan mereka,” katanya pada sidang media pada Khamis.
Ratchada berkata Anutin, yang juga menyelia Pejabat Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLO) selaku Menteri Dalam Negeri, telah mengarahkan semua agensi untuk menguatkuasakan langkah ketat dan menegakkan undang-undang, dengan memberi tumpuan kepada tingkah laku berbanding identiti.
Beliau menambah bahawa Anutin juga telah mengarahkan AMLO dan agensi berkaitan untuk melindungi hak mangsa mengikut prosedur undang-undang, bagi memastikan aset yang dirampas dikembalikan atau pampasan diberikan secara berkadar, dan bukannya dilucuthakkan kepada negara.
Pihak berkuasa juga telah diarahkan untuk bekerjasama rapat merentasi agensi bagi memperluas siasatan, terutamanya terhadap aset yang diperoleh daripada aktiviti haram, dan untuk meneruskan tindakan undang-undang lanjut terhadap mereka yang terlibat dalam kesalahan pengubahan wang haram yang berkaitan, tambahnya.
-- BERNAMA