Skip to main content

Dunia

Serigala ‘terlepas’ di Korea Selatan akhirnya ditangkap selepas sembilan hari

[Breaking News] Daejeon City "Wolfdog Captured Alive and Returned to O-World"
Rakaman video Neukgu berlari di atas jalan raya pada waktu malam, disinari lampu kenderaan, turut tular di media sosial. - Foto X/@yonhaptweet

DAEJEON: Seekor serigala berusia dua tahun bernama Neukgu, yang terlepas dari sebuah zoo di Korea Selatan dan mencetuskan perhatian nasional, akhirnya berjaya ditangkap selepas sembilan hari pencarian.

Kerajaan bandar Daejeon memaklumkan bahawa Neukgu ditangkap berhampiran sebuah lebuh raya pada 12.44 pagi waktu tempatan Jumaat, tidak jauh dari lokasinya meloloskan diri.

Menurut pihak berkuasa, hasil pemeriksaan perubatan menunjukkan denyutan nadi dan suhu badan Neukgu berada dalam keadaan normal.

Ratusan petugas penyelamat dikerahkan sepanjang operasi mencari serigala itu, dengan beberapa cubaan hampir berjaya.

Namun setiap kali kepungan diperketatkan, Neukgu berjaya melepaskan diri dari kurungan.

Awal minggu ini, pihak berkuasa hampir menahannya selepas jabatan bomba menerima laporan bahawa serigala itu kelihatan di kawasan pergunungan kira-kira dua kilometer dari O-World, zoo dan taman tema tempat ia dipelihara.

Rakaman video Neukgu berlari di atas jalan raya pada waktu malam, disinari lampu kenderaan, turut tular di media sosial.

Petunjuk itu mencetuskan satu lagi operasi mencari dan menyelamat, namun Neukgu sekali lagi berjaya menghilangkan diri.

Kehilangan Neukgu turut mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk penghasilan syiling meme oleh penyokong yang menggelarnya sebagai “serigala yang enggan dikurung” dan simbol kebebasan.

Dilahirkan pada 2024, Neukgu adalah sebahagian daripada program pemulihan serigala Korea di O-World.

Spesies itu suatu ketika dahulu mendiami Semenanjung Korea tetapi kini dianggap pupus di habitat liar.

Insiden berkenaan mencetuskan kebimbangan sama ada Neukgu mampu hidup di luar kurungan, selain kritikan kumpulan hak haiwan yang bimbang ia mungkin dibunuh ketika operasi tangkapan, mengingatkan kepada kejadian puma Porongi yang ditembak mati selepas melarikan diri dari zoo sama pada 2018.

Malah, Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung, turut berdoa secara terbuka agar Neukgu dapat kembali dengan selamat.

Kebimbangan itu akhirnya terjawab apabila pihak berkuasa melancarkan operasi terakhir di kawasan Anyeong-dong pada Khamis malam, susulan maklumat baharu yang diterima.

Rakaman video yang dimuat naik oleh kerajaan bandar Daejeon menunjukkan Neukgu yang kelihatan lemah dibawa oleh pasukan penyelamat dan dimasukkan ke dalam bekas khas.

Gambar susulan memperlihatkan serigala itu dalam keadaan dibius dan menerima rawatan perubatan.

“Terima kasih kepada semua yang berusaha membawa pulang Neukgu dengan selamat,” kata kerajaan bandar itu dalam satu kenyataan di media sosial.
 
“Kepada semua yang bimbang dan memberi sokongan, kami ucapkan terima kasih.”

 

Must Watch Video