CHENNAI: “Saya mewakili masyarakat Hindu, Muslim dan Kristian. Saya adalah sebahagian daripada anda semua — anak anda, abang anda dan juga adik anda.”
Demikian ditegaskan Ketua Menteri baharu Tamil Nadu, Vijay, dalam ucapan sulungnya selepas mengangkat sumpah jawatan di Chennai, India, pada Ahad.
Presiden Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) itu mencipta sejarah apabila menjadi individu pertama daripada komuniti Kristian memegang jawatan tertinggi di negeri tersebut.
Vijay, atau nama penuhnya Joseph Vijay Chandrasekhar, berikrar membawa era baharu keadilan sosial serta menegaskan kerajaan pimpinannya akan mentadbir secara telus, bebas rasuah dan memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat.
Beliau berkata sokongan rakyat daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum menjadi kekuatan utama yang membolehkannya membentuk kerajaan negeri.
“Marilah kita bersama‑sama membina pentadbiran baharu. Hari ini menandakan permulaan era baharu keadilan sosial,” katanya ketika berucap di Stadium Jawaharlal Nehru, di sini.
Dalam ucapan sama, bintang filem tersohor itu turut mengumumkan hasrat untuk menerbitkan kertas putih mengenai kedudukan kewangan kerajaan terdahulu pimpinan Dravida Munnetra Kazhagam (DMK).
Beliau mendakwa pentadbiran sebelum ini meninggalkan beban hutang mencecah Rs10 trilion (kira‑kira RM415 bilion) serta menguras rizab kewangan negeri.
Sebagai reaksi, bekas Ketua Menteri Tamil Nadu, MK Stalin, menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan tahap hutang negeri masih berada dalam had fiskal yang dibenarkan.
Dalam kenyataan berasingan, Raj Bhavan Tamil Nadu mengarahkan Vijay mendapatkan undi percaya di Dewan Undangan Negeri Tamil Nadu selewat‑lewatnya Rabu ini.
Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengucapkan tahniah kepada Vijay dan menyatakan komitmen kerajaan pusat untuk bekerjasama demi kesejahteraan rakyat Tamil Nadu.
Ditubuhkan dua tahun lalu, TVK muncul sebagai parti terbesar dengan penguasaan 108 daripada 234 kerusi Dewan Undangan Negeri.
Sokongan daripada parti lain termasuk Indian National Congress (INC) serta beberapa parti pembangkang membolehkan Vijay memperoleh 120 kerusi, sekali gus membentuk kerajaan negeri.