Skip to main content

Dunia

Sanae Takaichi umum Jepun akan guna sebahagian rizab minyak negara menjelang akhir Mac

Japanese Prime Minister Sanae Takaichi reacts as she receives applause after being reelected as prime minister, at the lower house of parliament in Tokyo, Japan February 18, 2026. REUTERS/Kim Kyung-Hoon
Takaichi menegaskan bahawa langkah ini bertujuan memastikan “tiada gangguan sama sekali dalam bekalan produk petroleum seperti petrol.” - Foto fail/REUTERS

TOKYO: Jepun akan mula menggunakan sebahagian rizab minyak negara dan rizab bersama menjelang akhir bulan ini bagi menampung gangguan bekalan susulan krisis tenaga global akibat perang di Asia Barat, umum Perdana Menteri Sanae Takaichi dalam satu kenyataan panjang di platform X.

Beliau memaklumkan bahawa penggunaan rizab minyak nasional akan bermula pada 26 Mac, manakala rizab bersama yang disimpan bersama negara pengeluar minyak akan turut diaktifkan sebelum hujung bulan.

Takaichi menegaskan bahawa langkah ini bertujuan memastikan “tiada gangguan sama sekali dalam bekalan produk petroleum seperti petrol.”

Pengumuman ini hadir ketika laluan perkapalan di Selat Hormuz, pintu masuk penting bagi kira-kira 20 peratus penghantaran minyak dunia, terganggu akibat ketegangan Iran–AS–Israel.

Jepun, yang bergantung kirakira 95 peratus kepada minyak import dari Asia Barat, kini menghadapi risiko besar dalam bekalan tenaga negaranya.

Takaichi sebelum ini berkata Jepun akan menggunakan rizab bersamaan 15 hari keperluan sektor swasta serta sebulan rizab negara, sebagai langkah awal untuk menampung gangguan bekalan.

Keseluruhannya, penggunaan rizab ini dijangka melibatkan sehingga 80 juta tong minyak, jumlah terbesar dalam sejarah pelepasan rizab negara Jepun.

Dalam kenyataan terkininya, Takaichi menegaskan bahawa kestabilan Asia Barat serta keselamatan perkapalan di Selat Hormuz sangat penting bagi komuniti antarabangsa, terutamanya Jepun, dari sudut jaminan bekalan tenaga yang stabil.

Beliau menambah bahawa penggunaan rizab minyak negara ini adalah langkah perlu untuk mengelakkan kekurangan bekalan domestik.

Walaupun Jepun memiliki simpanan strategik yang besar, bersamaan 254 hari keperluan domestik, kerajaan bimbang perang berlarutan boleh menjejaskan stok tersebut.

Pengumuman ini dibuat selepas Takaichi pulang dari lawatan rasmi ke Washington, di mana beliau bertemu Presiden AS Donald Trump untuk membincangkan keselamatan tenaga, risiko geopolitik di Asia Barat, dan koordinasi dasar bagi memastikan aliran minyak global tidak terputus.

 

 

 

Must Watch Video