Skip to main content

Malaysia

Kanak-kanak autistik ditemukan lemas dalam tasik sebuah hotel

Maslan Udin
Maslan berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki berumur 44 tahun yang merupakan ahli keluarga mangsa pada 8.06 malam. - Gambar Bernama

SEREMBAN: Seorang kanak-kanak lelaki autistik berusia sembilan tahun ditemukan lemas di sebuah tasik di kawasan hotel di Lukut di sini, selepas dipercayai keluar dari bilik hotel tanpa pengetahuan keluarga, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada seorang lelaki berumur 44 tahun yang merupakan ahli keluarga mangsa pada 8.06 malam.

“Kejadian disedari kira-kira 3.30 petang selepas kanak-kanak itu didapati keluar dari bilik hotel tanpa pengetahuan keluarganya. 

“Mangsa berada di lokasi tersebut bersama-sama keluarga untuk bercuti sebelum ditemukan lemas di dalam tasik oleh kakitangan hotel dan ahli keluarga yang menjalankan pencarian selepas menyedari ketiadaannya di dalam bilik,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Maslan berkata hasil bedah siasat yang dijalankan pada 10 pagi di Jabatan Forensik Hospital Port Dickson mengesahkan punca kematian akibat lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video