ISTANBUL: Peluru berpandu dan dron dilancarkan ke Arab Saudi, Kuwait, dan Bahrain pada Rabu ketika Iran meneruskan serangan balas terhadap serangan berterusan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Kementerian Pertahanan Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata pasukan pertahanan udaranya berjaya memintas dan memusnahkan satu peluru berpandu balistik serta 31 dron di Wilayah Timur.
Menurut pihak Pertahanan Awam, serpihan daripada peluru berpandu yang dipintas itu jatuh ke atas dua buah rumah, termasuk sebuah yang sedang dalam pembinaan, menyebabkan kerosakan harta benda yang terhad. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Di Kuwait, Direktorat Jeneral Penerbangan Awam berkata dron menyasarkan tangki bahan api di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuwait, sehingga mencetuskan kebakaran di lokasi berkenaan. Laporan awal menunjukkan serangan itu hanya mengakibatkan kerosakan material.
Pengawal Negara Kuwait memaklumkan pihaknya telah menembak jatuh sebuah dron dan lima pesawat tanpa pemandu (UAV) di kawasan bawah perlindungannya.
Sementara itu di Bahrain, Kementerian Dalam Negeri berkata siren amaran telah dibunyikan tanpa memberikan butiran lanjut. Pihak berkuasa menggesa penduduk supaya bertenang dan berpindah ke lokasi selamat yang berhampiran.
Ketegangan serantau terus memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb, yang setakat ini mengorbankan lebih 1,340 orang termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Tehran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, selain Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS. Serangan itu mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan infrastruktur, selain mengganggu pasaran global serta sektor penerbangan.
-- BERNAMA-ANADOLU