Skip to main content

Sukan

Harimau Malaya tetap buru kemenangan menentang Vietnam - Daniel Ting

Menerusi kemas kini terbaharu FIFA daripada data secara masa nyata menyaksikan ranking skuad Harimau Malaya terperosok jatuh ke kedudukan ke-135 dunia dengan ketika ini mengumpul 1095.90 mata
Skuad negara kini menjalani sesi latihan di Bangkok, Thailand sehingga 27 Mac ini sebelum menghadapi perlawanan menentang Vietnam. - Gambar fail/Stadium ASTRO

KUALA LUMPUR: Pasukan bola sepak kebangsaan akan turun dengan misi memburu kemenangan pada aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam di Stadium Thien Truong, Ninh Binh pada 31 Mac ini.

Pemain pertahanan Harimau Malaya Daniel Ting berkata setiap perlawanan membawa kepentingan tersendiri, khususnya dalam usaha mengutip mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi memperbaiki kedudukan pasukan di pentas dunia.

“Kami mahu menang setiap perlawanan. Sudah tentu, ia mungkin tidak penting untuk mengutip mata dan kelayakan dan semua perkara itu.

“… tetapi masih ada mata FIFA untuk dimenangi dan kami mahu mengumpul mata itu semula untuk memperbaiki semula ranking,” katanya menerusi video dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada media hari ini.

Beliau berkata persiapan pasukan ketika ini berada pada tahap positif, dengan semua pemain menunjukkan komitmen tinggi selepas kembali berkumpul bagi menghadapi perlawanan itu.

"Ya, saya rasa baik, bagus. Seperti yang saya katakan, kami sudah beberapa bulan tidak mengadakan latihan bersama. Jadi, saya sudah lama tidak berjumpa dengan ramai pemain, saya gembira melihat semua rakan-rakan sepasukan.

“Saya rasa walaupun dengan situasi mata, sudah tentu anda sentiasa mahu menang setiap kali bermain untuk negara dan semua orang gembira untuk mewakili negara mereka, jadi hanya suasana positif yang dapat saya katakan,” katanya.

Pada masa sama, pemain Ratchaburi FC itu berkata pengalaman beraksi pada saingan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) menjadi kelebihan tambahan yang mampu membantu meningkatkan tahap permainan pasukan.

Skuad negara kini menjalani sesi latihan di Bangkok, Thailand sehingga 27 Mac ini sebelum menghadapi perlawanan menentang Vietnam, meskipun kemenangan pada perlawanan itu tidak mampu mengubah hakikat bahawa Malaysia sudah tidak layak.

-- BERNAMA

 

TAG: sukan, Daniel Ting, Harimau Malaya, kelayakan 

 

Must Watch Video