Skip to main content

Malaysia

Ramanan kecewa tindakan Rafizi, seolah-olah lindungi pihak tertentu

SUNGAI BULOH, 25 Mac -- Menteri Sumber Manusia merangkap Naib Presiden PKR, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, ketika mengadakan sidang media khas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ramanan, ketika mengadakan sidang media khas di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh, hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PKR Datuk Seri R. Ramanan menzahirkan kekecewaan terhadap bekas timbalan presiden parti itu Datuk Seri Rafizi Ramli, yang didakwa seolah-olah cuba melindungi individu terlibat dalam isu 'mafia korporat'.

Ramanan yang juga Menteri Sumber Manusia berkata Rafizi sering menyalahkan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain membangkitkan isu pengubahan wang haram tanpa asas yang jelas.

“Apa niat beliau (Rafizi) sehingga dilihat seakan-akan melindungi individu tersebut. Dalam situasi ini, beliau seperti mempertahankan individu tertentu, malah sanggup mengkritik parti demi menyelamatkan pihak berkenaan. Apakah agenda sebenar beliau?,” katanya pada sidang media khas di Pusat Khidmat Parlimen Sungai Buloh, di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu, Ramanan mencabar mana-mana pihak termasuk Rafizi untuk menamakan beliau sekiranya ingin dikaitkan dengan isu berkenaan, sambil menegaskan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

Mengenai keperluan siasatan dalaman oleh PKR, Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata setakat ini tiada bukti kukuh yang mengaitkan mana-mana Ahli Parlimen parti dengan dakwaan berkenaan.

"Rafizi seolah-olah telah membuat kesimpulan bahawa perkara ini benar-benar berlaku walaupun tiada nama disebut dan fakta belum diperincikan. Ini menimbulkan persepsi bahawa wujud agenda tidak sihat untuk memecahbelahkan parti,” katanya.

Ramanan berkata walaupun dirinya bukan individu yang dikaitkan dalam isu itu, beliau perlu tampil bagi menjernihkan keadaan.

“Rafizi merupakan bekas Timbalan Presiden dan bekas menteri yang gagal. Apabila beliau mengeluarkan kenyataan dan tiada penjelasan balas diberikan, ia boleh menimbulkan tanggapan bahawa dakwaan tersebut adalah benar.

“Sehubungan dengan itu, seseorang perlu tampil memberikan penjelasan. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlarutan sehingga menimbulkan syak wasangka,” katanya.

Ditanya sama ada Rafizi bertindak secara sendirian dalam isu berkenaan, Ramanan enggan membuat sebarang spekulasi. 

“Terlalu banyak spekulasi ketika ini. Saya tidak mahu bertindak seperti beliau dengan menyebarkan khabar angin yang boleh mewujudkan naratif palsu. Perkara ini memerlukan fakta, dan kebenaran harus didedahkan berdasarkan bukti,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video