BAITULMAQDIS: Polis Israel dilaporkan menghalang Kardinal Pierbattista Pizzaballa, Patriark Latin Baitulmaqdis, daripada memasuki Gereja Makam Suci bagi meraikan Misa Ahad Palma, sekali gus mencetuskan kecaman meluas daripada pemimpin dunia dan komuniti Kristian antarabangsa.
Gereja Katolik dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa Kardinal Pizzaballa dan Francesco Ielpo, Penjaga Rasmi Gereja Makam Suci, telah dihalang daripada memasuki gereja berkenaan.
Insiden itu menyebabkan, buat kali pertama dalam tempoh berabad-abad, ketua gereja tidak dapat meraikan Misa Ahad Palma di salah satu tapak paling suci dalam kepercayaan Kristian.
“Insiden ini menjadi satu titik perubahan yang serius dan mengabaikan sensitiviti berbilion penganut Kristian di seluruh dunia yang pada minggu ini menumpukan perhatian kepada Baitulmaqdis,” menurut kenyataan itu.
Polis Israel pula menjelaskan bahawa semua tapak suci di Baitulmaqdis ditutup atas faktor keselamatan susulan perang antara Amerika Syarikat (AS) dan Israel dengan Iran.
Ketika bulan Ramadan yang lalu, yang turut bertepatan dengan konflik berkenaan, Masjid Al-Aqsa juga dilaporkan ditutup kepada para jemaah.
Dalam kenyataan kepada agensi berita AFP, polis Israel berkata permohonan Kardinal Pizzaballa untuk memimpin misa Ahad Palma, yang menandakan permulaan Minggu Suci Kristian sehingga Easter, tidak dapat diluluskan atas sebab keselamatan.
“Kawasan Kota Lama dan tapak-tapak suci merupakan kawasan yang kompleks serta tidak membenarkan akses untuk kenderaan kecemasan dan penyelamat berskala besar, sekali gus menimbulkan risiko sebenar terhadap nyawa manusia sekiranya berlaku insiden melibatkan ramai mangsa,” menurut kenyataan polis.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pula menyatakan bahawa penghalangan tersebut dibuat atas “keprihatinan khas terhadap keselamatan” Kardinal Pizzaballa, memandangkan tapak-tapak suci di Baitulmaqdis didakwa berulang kali menjadi sasaran ancaman dari Iran.
Bagaimanapun, kerajaan Israel memberi jaminan bahawa rancangan sedang dirangka bagi membolehkan pemimpin gereja menjalankan ibadat mereka di tapak berkenaan dalam tempoh Minggu Suci.
Gereja Katolik bagaimanapun menyifatkan tindakan menghalang Pizzaballa dan Ielpo sebagai “langkah yang jelas tidak munasabah dan amat tidak seimbang”, serta satu pencabulan terhadap kebebasan beragama dan status quo tapak suci.
Insiden itu menerima kecaman antarabangsa. Duta AS ke Israel, Mike Huckabee, menyifatkannya sebagai “tindakan melampau yang malang” dan sukar untuk difahami, khususnya apabila had perhimpunan awam ketika itu hanya melibatkan empat wakil gereja.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, menganggap insiden berkenaan sebagai satu penghinaan bukan sahaja terhadap penganut Kristian tetapi terhadap semua komuniti yang menghormati kebebasan beragama.
Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, turut memanggil duta Israel bagi mendapatkan penjelasan rasmi.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menegaskan bahawa kebebasan beribadat untuk semua agama mesti dijamin di Baitulmaqdis.
Nada sama turut disuarakan oleh diplomat tertinggi Kesatuan Eropah, Kaja Kallas, serta Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez, yang menyifatkan tindakan itu sebagai serangan tidak berasas terhadap kebebasan beragama dan undang-undang antarabangsa.