Skip to main content

Dunia

Perang Iran burukkan situasi makanan di Sudan, kata badan kebajikan Jerman

Sudan, AP Newsroom
Kos penghantaran bantuan juga meningkat dengan ketara, menyebabkan lebih sedikit penduduk yang menerima bekalan bantuan. - Foto AP

BERLIN: Perang Iran memberi “kesan dramatik” terhadap situasi makanan yang sedia rapuh di Sudan, kata pegawai bantuan pada Selasa, sehari sebelum persidangan antarabangsa ketiga mengenai Sudan di Berlin, lapor agensi berita Jerman (dpa).

“Pasukan kami di Sudan melaporkan kenaikan harga yang besar. Harga bahan api meningkat sehingga 80 peratus, manakala bahan makanan asas seperti gandum naik kira-kira 70 peratus,” kata Ketua organisasi bantuan Jerman Welthungerhilfe, Matthias Mogge.

Beliau berkata kos penghantaran bantuan juga meningkat dengan ketara, menyebabkan lebih sedikit penduduk yang menerima bekalan bantuan.

Timbalan Ketua Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (WFP) Carl Skau berkata semua diesel Sudan berasal dari rantau Teluk.

“Saya juga bimbang tentang kesan jangka panjang di sini, kerana semua baja di negara ini berasal dari Teluk Parsi,” katanya.

Satu lagi isu ialah sebahagian besar sektor pertanian Sudan bergantung kepada sistem pengairan menggunakan air yang dipam dari Sungai Nil, yang memerlukan bahan api.

“Saya bimbang tentang pengeluaran serta kesan jangka panjang terhadap penyediaan bekalan makanan,” kata Skau. “Perang di Asia Barat memberi kesan kepada kita semua, namun di tempat seperti Sudan, ia membawa kesan yang amat dramatik,” katanya.

Perang saudara yang tercetus di Sudan pada 2023 menyebabkan 19 juta penduduk berdepan kebuluran akut, menurut WFP. Kira-kira 11.6 juta orang telah kehilangan tempat tinggal, dengan kedua-dua pihak dalam konflik itu dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah perang.

Mogge berkata Sudan merupakan antara wilayah paling berbahaya di dunia bagi pekerja bantuan. Beliau menggesa persidangan pada Rabu yang dianjurkan Perancis, Jerman, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AS), bersama Kesatuan Eropah dan Kesatuan Afrika, supaya memastikan akses tanpa halangan kepada organisasi bantuan.

-- BERNAMA-dpa

 

Must Watch Video