KUALA LUMPUR: Ringgit meningkat sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, disokong oleh keyakinan bahawa rundingan pusingan kedua AS-Iran dapat mengurangkan ketegangan di sepanjang laluan perairan minyak global utama.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9510/9570 berbanding dolar AS daripada 3.9550/9600 semasa ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran menaruh harapan pada pusingan kedua rundingan AS-Iran yang dijangka dapat membuka semula Selat Hormuz dan meredakan lagi konflik.
Beliau berkata, kebimbangan terhadap inflasi, didorong oleh tekanan berkaitan peperangan ke atas firma AS dan peningkatan hasil Perbendaharaan AS akan memastikan kos pinjaman meningkat, memandangkan Rizab Persekutuan (Fed) AS mungkin enggan menurunkan kadar faedah.
“Ringgit diunjurkan diniagakan dalam jajaran kecil berbanding dolar AS antara RM3.95 dan RM3.97 hari ini,” katanya kepada Bernama.
Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah West Texas Intermediate dan Brent kedua-duanya turun di bawah AS$100 setong, susut 0.58 peratus dan 0.36 peratus masing-masing kepada AS$90.76 dan AS$94.59.
Pada sesi pembukaan, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit merosot berbanding pound Britain kepada 5.3627/3708 daripada 5.3614/3682 ketika ditutup pada Rabu, berkurangan berbanding euro kepada 4.6649/6720 daripada 4.6594/6653, bagaimanapun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4879/4918 daripada 2.4890/4923 sebelum itu.
Sementara itu, mata wang tempatan turut diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1093/1143 daripada 3.1095/1139 ketika ditutup pada Rabu, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 230.4/230.9 daripada 230.7/231.0 dan melonjak berbanding peso Filipina kepada 6.57/6.59 from 6.58/6.59 previously sebelumnya.
Bagaimanapun, ringgit menguncup berbanding baht Thailand kepada 12.3415/3676 daripada 12.3098/3330 pada penutupan semalam.,
-- BERNAMA