Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Putera Mahkota Arab Saudi, PM Pakistan bincang rundingan AS–Iran di Jeddah

Saudi Crown Prince Mohammed bin Salman meets with Pakistan's Prime Minister Shehbaz Sharif in Jeddah, Saudi Arabia, April 15, 2026._REUTERS
Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (kanan) mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif di Jeddah, Arab Saudi, pada Rabu. - Gambar Reuters

JEDDAH: Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, membincangkan pelbagai isu serantau dan antarabangsa, termasuk rundingan yang sedang berlangsung antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, dalam satu pertemuan di Jeddah, menurut Agensi Akhbar Arab Saudi (SPA).

SPA melaporkan, rundingan antara Washington dan Tehran, yang kini dihoskan oleh Pakistan menjadi antara topik utama perbincangan antara kedua-dua pemimpin itu, ketika usaha diplomatik terus dipergiatkan bagi meredakan ketegangan di Asia Barat.

Menurut laporan itu, Putera Mahkota Mohammed bin Salman menekankan kepentingan usaha diplomatik yang berterusan dan konsisten bagi memulihkan kestabilan serantau. 

Beliau turut memuji peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri Shehbaz Sharif dan Ketua Tentera Pakistan, Jeneral Asim Munir dalam memudah cara proses diplomatik berkenaan.

Putera Mahkota itu menyifatkan inisiatif Pakistan sebagai sumbangan penting ke arah menggalakkan dialog serta mengurangkan risiko konflik yang lebih meluas di rantau tersebut.

Pakistan sejak kebelakangan ini muncul sebagai perantara utama dalam perbincangan antara Amerika Syarikat dan Iran, dengan Islamabad menekankan pendekatan diplomatik serta penyelesaian secara aman terhadap pertikaian yang berlarutan.

Pertemuan di Jeddah itu sekali gus mencerminkan sokongan Arab Saudi terhadap usaha diplomasi pelbagai hala serta kerjasama erat antara Riyadh dan Islamabad dalam menangani cabaran keselamatan dan kestabilan di peringkat serantau dan global.

Tiada butiran lanjut didedahkan mengenai kemajuan khusus rundingan AS–Iran, namun kenyataan SPA menunjukkan wujud kesepakatan bersama mengenai keperluan mengekalkan momentum diplomatik bagi mencapai penyelesaian jangka panjang. - Agensi

Must Watch Video