Skip to main content

Dunia

Penyertaan ISF di Gaza di bawah kawalan nasional, bukan tempur - Indonesia

51738060610_TBGaza.jpg
Kakitangan Indonesia tidak akan diletakkan untuk menentang mana-mana pihak dan tidak akan terlibat dalam operasi tempur atau tindakan yang membawa kepada konfrontasi langsung dengan mana-mana kumpulan bersenjata. - Gambar fail

JAKARTA: Potensi penyertaan Indonesia dalam Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Gaza akan kekal sepenuhnya di bawah kawalan nasional dan bersifat bukan tempur, menurut Kementerian Luar negara itu.

Kementerian tersebut menyatakan bahawa sebarang penglibatan akan berasaskan mandat Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2803, Dasar Luar Indonesia yang Bebas dan Aktif serta undang-undang antarabangsa.

“Penyertaan Indonesia bukan untuk misi tempur dan bukan untuk misi demilitarisasi.”

“Mandat Indonesia bersifat kemanusiaan, dengan fokus kepada perlindungan orang awam, bantuan kemanusiaan dan kesihatan, pembinaan semula, serta latihan dan pembangunan kapasiti Polis Palestin,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kementerian itu juga menegaskan bahawa kakitangan Indonesia tidak akan diletakkan untuk menentang mana-mana pihak dan tidak akan terlibat dalam operasi tempur atau tindakan yang membawa kepada konfrontasi langsung dengan mana-mana kumpulan bersenjata.

Katanya, penggunaan kekerasan hanya dibenarkan untuk pertahanan diri dan bagi mempertahankan mandat, yang dilaksanakan secara berkadar, berperingkat, sebagai jalan terakhir, dan sepenuhnya mengikut undang-undang antarabangsa serta Peraturan Penglibatan.

Kenyataan itu selanjutnya menyebut bahawa kawasan penempatan akan dihadkan secara khusus di Genting Gaza, yang disifatkan sebagai sebahagian daripada wilayah Palestin.

“Penempatan hanya boleh dilakukan dengan persetujuan pihak berkuasa Palestin, sebagai prasyarat utama,” katanya.

Indonesia juga mengulangi bahawa penyertaannya “tidak boleh ditafsirkan sebagai pengiktirafan atau normalisasi hubungan politik dengan mana-mana pihak.”

Kementerian itu berkata Indonesia akan menamatkan penyertaannya jika pelaksanaan ISF menyimpang daripada syarat nasional atau dasar luar Indonesia.

-- BERNAMA

Must Watch Video