GENEVA: Pegawai pelancongan memaklumkan bahawa jumlah pelancong ke Switzerland, Austria dan Britain semakin berkurangan susulan perang Iran.
Pelancong dari Asia mula membatalkan perjalanan pada Mac, sebahagiannya kerana penerbangan melalui hab Asia Barat seperti Dubai dibatalkan, kata jurucakap Switzerland Tourism André Aschwanden kepada agensi berita Jerman dpa.
Tempahan baharu juga dilaporkan semakin merosot.
“Keadaan ini lebih malang kerana ketika ini merupakan musim puncak bagi penduduk negara Teluk, selain India dan Asia Tenggara untuk melancong ke Eropah dan Switzerland,” katanya.
Kesan itu turut dirasai di Zurich, kata Pengarah Zurich Tourism Thomas Wüthrich kepada dpa.
“Maklum balas daripada sektor makanan dan minuman, peruncitan serta perkhidmatan pelancongan lain menunjukkan ketiadaan pelancong antarabangsa sudah dapat dirasai pada Mac,” kata beliau.
Masalah utama ialah ketidaktentuan terhadap perjalanan antarabangsa, yang menyebabkan tempahan bagi musim panas dan musim luruh terus merosot.
Di Lucerne, kira-kira dua pertiga pihak industri melaporkan trend tempahan yang semakin menurun, kata Jessica Ternes dari persatuan Hotellerie Suisse Central Switzerland.
“Perniagaan yang banyak bergantung pada pelancong berkumpulan dari Asia dan tetamu dari negara Teluk paling terjejas,” kata beliau.
Britain lazimnya menjadi destinasi utama pelancong dari Asia Barat.
Namun sejak perang bermula pada 28 Feb, tempahan penerbangan dari Asia Barat merosot 50 peratus manakala tempahan dari India pula menurun sebanyak satu pertiga, menurut organisasi pelancongan VisitBritain.
Tempahan sehingga Julai juga jauh lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu, apabila pelancong masih mengambil sikap tunggu dan lihat terhadap perkembangan semasa.
-- BERNAMA-dpa