IPOH: Hujan lebat serta angin kencang petang tadi menyebabkan 25 kes pokok tumbang direkodkan di beberapa kawasan sekitar Perak.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai insiden berkenaan kira-kira 4.54 petang tadi.
"Sebanyak 25 kes pokok tumbang diterima APM Negeri Perak melalui talian kecemasan 999 melibatkan beberapa daerah dan yang paling banyak dilaporkan iaitu di Ipoh dan Kampar.
"Sebanyak 10 kes pokok tumbang dilaporkan di Ipoh manakala lapan kes pokok tumbang berlaku di Kampar serta tiga kes di daerah Batang Padang dan dua kes di Kerian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
APM memaklumkan terdapat satu kes masing-masing dilaporkan berlaku di Kuala Kangsar, Larut, Matang dan Selama serta Sungai Siput.
Menurut APM, antara lokasi pokok tumbang di Ipoh ialah di Taman Pulai Heights, Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Pulai dan Taman Seri Raia, manakala di Kampar membabitkan kawasan Batu Berangkai, Kampung Gunong Panjang, Kampung Gunung Mesah Hilir, Kampung Tekah dan Taman Lawan Kuda.
“Bagaimanapun kesemua kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa dan hanya berlaku kerosakan kecil membabitkan kediaman sahaja setakat ini,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu MetMalaysia memaklumkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda ibu negara serta 10 negeri hingga 7 malam ini.
Antara negeri terlibat ialah Kedah melibatkan Baling, Kulim dan Bandar Baharu, Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan) dan Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim).
-- BERNAMA