Skip to main content

Dunia

Sepanyol akan gesa EU tamatkan perjanjian dengan Israel berhubung perang - PM Sanchez

71712041042_pedrosanchez.jpg
Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez berkata pada Ahad yang Sepanyol akan secara rasmi meminta Kesatuan Eropah (EU) memutuskan Perjanjian Persatuan dengan Israel. - Gambar fail

OVIEDO: Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez berkata pada Ahad yang Sepanyol akan secara rasmi meminta Kesatuan Eropah (EU) memutuskan Perjanjian Persatuan dengan Israel, lapor Anadolu Ajansi (AA).

“Kerajaan yang melanggar undang-undang antarabangsa, dan dengan itu melanggar prinsip serta nilai EU, tidak boleh menjadi rakan EU. Ia semudah itu,” katanya pada satu perhimpunan kempen di Andalusia.

Beliau menggesa negara EU yang lain menyokong cadangan Sepanyol, yang akan dibangkitkan dalam mesyuarat menteri luar EU di Luxembourg pada Selasa.

“Kami melakukannya bukan kerana kami menentang rakyat Israel, tetapi kerana kami tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mereka,” katanya.

Sanchez turut mengkritik perang yang melibatkan Iran sebagai “kesilapan besar.”

“Ia mengorbankan ribuan nyawa manusia, menyebabkan jutaan orang kehilangan tempat tinggal dan mengakibatkan kerugian ekonomi berbilion euro,” katanya.

“Itulah sebabnya saya meminta mereka yang memulakan perang untuk menghentikannya dan menyekat tindakan Netanyahu,” katanya, merujuk kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.

Pada 2024, Sepanyol dan Ireland pertama kali menggesa EU menyemak semula perjanjian itu, yang mewujudkan kawasan perdagangan bebas antara EU dan Israel serta manfaat lain, tetapi juga mengandungi klausa pematuhan hak asasi manusia.

Pada Mei 2025, blok EU bersetuju untuk menyemak perjanjian itu. Sebulan kemudian, Suruhanjaya Eropah menyatakan terdapat “petunjuk” yang Israel mungkin melanggar kewajipan hak asasi manusia, tetapi tidak mencadangkan sebarang tindakan lanjut.

Baru-baru ini, Madrid memperbaharui desakan untuk membahaskan perjanjian itu bersama Ireland dan Slovenia.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video