Skip to main content

Malaysia

Jadual kerja tidak menentu, karyawan perlu amal gaya hidup sihat - Dr Wan Azizah

KUALA LUMPUR, 19 April -- Isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapan ketika merasmikan Majlis Raya Persatuan Karyawan Malaysia Bersama Komuniti Sejahtera di Kompleks Sukan Desa Tasik Bandar, Tasik Selatan hari ini. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata golongan itu juga boleh menjadi contoh terbaik kepada generasi muda dalam mengamalkan gaya hidup sihat. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Amalan gaya hidup sihat termasuk penglibatan aktif dalam sukan adalah asas penting kepada kesejahteraan fizikal dan mental khususnya bagi karyawan serta penggiat industri kreatif yang berdepan jadual kerja tidak menentu.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata golongan itu juga boleh menjadi contoh terbaik kepada generasi muda dalam mengamalkan gaya hidup sihat.

“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja sihat fizikalnya tetapi juga cerdas mindanya,” kata beliau pada Majlis Raya Karyawan Bersama Komuniti Sejahtera di sini hari ini.

Majlis anjuran Parlimen Bandar Tun Razak itu turut dihadiri Setiausaha Politik Perdana Menteri iaitu Datuk Azman Abidin dan Presiden Persatuan Karyawan Malaysia Freddie Fernandez.

Sementara itu, Freddie meluahkan kebimbangan terhadap tahap kesihatan artis khususnya melibatkan penyakit kronik.

“Kepada rakan-rakan artis, nasihat saya sentiasa menjaga kesihatan... kurangkan pengambilan gula dan makanan berminyak… ramai artis yang sakit... ada masalah buah pinggang kerana mengambil gula yang terlalu banyak,” katanya sambil mengingatkan mereka agar mengelakkan tabiat merokok.

Beliau juga berkata persatuan itu akan terus komited memperjuangkan kebajikan penggiat seni termasuk menangani isu royalti, bayaran, skim pencen dan perlindungan insurans dengan kerjasama kerajaan.

Freddie juga berkata penghapusan cukai hiburan bagi persembahan artis tempatan pada 2024 oleh Kerajaan MADANI merupakan langkah signifikan yang membantu industri seni tanah air.

“Kami juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan artis muda menerusi penganjuran program seperti Festival Muzik Indie yang bakal diadakan pada Ogos ini,” katanya.

Majlis Raya Karyawan Bersama Komuniti Sejahtera bertujuan memperkukuh hubungan komuniti sempena Aidilfitri di samping mempromosikan kesejahteraan sosial dan kesihatan awam.

Terdahulu, Kiosk Telekesihatan Parlimen Bandar Tun Razak dilancarkan sebagai inisiatif memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada komuniti setempat.

Penaja majlis itu, BIG CARING Group, turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada Karyawan sebagai sokongan terhadap kebajikan penggiat seni dan industri kreatif negara selain 140 set Kotak Sumbangan RAHMAH kepada golongan memerlukan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video