Skip to main content

Dunia

150 penceroboh Israel serbu Masjid Al-Aqsa

81672843292_TBALAQSAISRAEL.jpg
Kira-kira 150 penceroboh Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki pada Ahad di bawah perlindungan polis yang ketat. - Gambar fail

BANDAR GAZA: Kira-kira 150 penceroboh Israel menyerbu Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis Timur yang diduduki pada Ahad di bawah perlindungan polis yang ketat, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik media Palestin.

Agensi berita rasmi Wafa, yang memetik Gabenor Baitulmuqaddis, berkata penceroboh memasuki tapak kawasan panas itu melalui Pintu Mughrabi dan melakukan lawatan provokasi di perkarangannya.

Laman web Al-Qastal, yang memfokuskan kepada hal ehwal berkaitan Baitulmuqaddis, berkata penceroboh melakukan ritual Talmud semasa pencerobohan tersebut.

Polis Israel mengenakan sekatan terhadap kemasukan jemaah Palestin sebagai sebahagian daripada langkah berterusan untuk mengehadkan akses mereka ke masjid.

Masjid Al-Aqsa merupakan tapak ketiga paling suci di dunia bagi umat Islam. Orang Yahudi memanggil kawasan itu sebagai Temple Mount, dengan mendakwa ia adalah tapak bagi dua kuil Yahudi pada zaman purba.

Sejak 2003, polis Israel secara unilateral membenarkan penceroboh memasuki masjid setiap hari dalam dua tempoh, iaitu waktu solat pagi dan petang, kecuali pada Jumaat dan Sabtu.

Jabatan Wakaf Islam di Baitulmuqaddis, yang menyelia masjid itu, telah berulang kali menyeru agar pencerobohan tersebut dihentikan, namun pihak berkuasa Israel tidak memberi sebarang maklum balas.

Sejak Itamar Ben-Gvir menjadi Menteri Keselamatan Negara Israel pada akhir 2022, pencabulan di masjid tersebut semakin meningkat.

Rakyat Palestin berkata Israel sedang memperhebatkan usaha untuk mengyahudikan Baitulmuqaddis Timur, termasuk Masjid Al-Aqsa, dan menghapuskan identiti Arab serta Islamnya.

Rakyat Palestin menganggap Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara bagi negara masa depan mereka, berdasarkan resolusi antarabangsa yang tidak mengiktiraf pendudukan Israel ke atas bandar itu pada 1967 atau pengilhakkannya pada 1980.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

TAG: al-Aqsa, Masjid Al-Aqsa, penceroboh Israel, polis Israel

Must Watch Video