Skip to main content

Dunia

Parti Bhumjaithai terima sokongan Pheu Thai bentuk kerajaan gabungan

In this photo released by Bhumjaithai Party, Pheu Thai Party prime minister candidate Yodchanan Wongsawat, center, shakes hands with Thailand's Prime Minister and leader of Bhumjaithai Party Anutin Charnvirakul at Bhumjaithai, the party headquarters in Bangkok, Thailand, Friday, Feb. 13, 2026. (Bhumjaithai Party via AP)
Yodchanan Wongsawat (tengah), berjabat tangan dengan Anutin Charnvirakul di ibu pejabat Parti Bhumjaithai di Bangkok, Thailand. - Foto AP

BANGKOK: Parti Bhumjaithai Thailand yang diterajui Perdana Menteri Anutin Charnvirakul, berjaya memperoleh sokongan daripada Parti Pheu Thai yang menduduki tempat ketiga dalam pilihan raya umum untuk membentuk kerajaan gabungan.

Persetujuan itu dicapai susulan pilihan raya umum pada 8 Feb yang menyaksikan Bhumjaithai muncul sebagai parti pemenang terbesar namun gagal memperoleh majoriti mudah, sekali gus memerlukan rundingan pembentukan kerajaan gabungan.

Anutin berkata keputusan itu dicapai selepas perbincangan dengan pemimpin Pheu Thai di ibu pejabat Bhumjaithai pada Jumaat, bertujuan mengelakkan lompang politik yang berpanjangan.

“Berdasarkan kiraan undi, walaupun keputusan belum disahkan secara rasmi, dan bagi mengelakkan lompang politik yang lama, perbincangan awal telah diadakan.

“Kami telah merumuskan bahawa Parti Pheu Thai bersedia menyokong Parti Bhumjaithai sebagai parti teras dalam pembentukan kerajaan,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Dalam pilihan raya 8 Feb itu, Parti Bhumjaithai mendahului dengan memenangi 174 daripada 400 kerusi kawasan yang dipertandingkan, namun masih belum mencapai majoriti yang diperlukan untuk membentuk kerajaan sendiri.

Keputusan awal yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya berdasarkan 94 peratus kiraan undi menunjukkan Parti Rakyat mengekori jauh di belakang dengan 87 kerusi, diikuti oleh Parti Pheu Thai (58), Parti Kla Tham (56) dan Parti Demokrat (10).

Sokongan Pheu Thai akan memberikan Anutin majoriti parlimen yang jelas dan berpotensi mewujudkan gabungan yang lebih stabil.

Dewan Perwakilan Thailand yang mempunyai 500 kerusi dipilih melalui sistem pilihan raya campuran, terdiri daripada 400 kerusi kawasan menerusi sistem pemenang undi terbanyak dan 100 kerusi senarai parti yang diperuntukkan melalui perwakilan berkadar. Majoriti mudah sebanyak 251 undi diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Anutin berkata kedua-dua parti mempunyai personel yang berkebolehan dan berpengalaman untuk mengemudi Thailand ke arah masa depan yang stabil, kuat dan mampan selaras dengan harapan rakyat.

“Kami juga telah menetapkan garis masa. Sebagai parti teras, kami akan menjemput parti-parti lain mengikut turutan dan memohon kerjasama mereka bagi memastikan negara bergerak maju dengan lancar.

Persetujuan awal telah dicapai, dan mulai sekarang kami akan meneruskan perbincangan dengan lebih terperinci mengenai pembentukan kerajaan,” katanya.

Anutin mengadakan perbincangan dengan wakil Pheu Thai yang diketuai Setiausaha Agungnya, Prasert Chanthararuangthong, calon Perdana Menteri parti, Yodchanan Wongswasdi serta bekas Timbalan Perdana Menteri kanan, Suriya Juangroongruangkit.

Sementara itu, Prasert berkata kunjungan Pheu Thai adalah untuk mengucapkan tahniah kepada Bhumjaithai atas kejayaan pilihan raya dan mengumumkan sokongan rasmi kepada gabungan itu.

Beliau berkata syarat terperinci dan pengaturan untuk menyertai kerajaan akan dibincangkan lebih lanjut pada peringkat seterusnya.

Parti Bhumjaithai sebelum ini merupakan ahli gabungan pemerintah pimpinan Pheu Thai selepas pilihan raya 2023, namun menarik diri pada Jun tahun lepas susulan kebocoran rakaman perbualan telefon antara Perdana Menteri ketika itu, Paetongtarn Shinawatra dan bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

Keputusan pilihan raya Thailand mesti disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand dalam tempoh 60 hari - selewat-lewatnya pada 9 April - dan parlimen yang baharu dipilih dikehendaki bersidang dalam tempoh 15 hari selepas pengesahan rasmi.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video