Skip to main content

Dunia

Mahkamah Agung Kanada batalkan kemenangan satu undi di Quebec

x @RosieBarton
Pilihan raya April lalu pada mulanya memihak kepada Bloc Quebecois, namun kiraan semula kemudian mengesahkan kemenangan calon Liberal, Tatiana Auguste, dengan hanya satu undi, menewaskan penyandang Bloc, Nathalie Sinclair-Desgagne. - Foto X/Rosemary Barton

OTTAWA: Mahkamah Agung Kanada membatalkan keputusan pilihan raya persekutuan di kawasan Terrebonne, Quebec, selepas kemenangan satu undi calon Parti Liberal didapati tidak sah.

Keputusan itu menyebabkan kerusi tersebut kini kosong sehingga pilihan raya kecil diadakan.

Pilihan raya April lalu pada mulanya memihak kepada Bloc Quebecois, namun kiraan semula kemudian mengesahkan kemenangan calon Liberal, Tatiana Auguste, dengan hanya satu undi, menewaskan penyandang Bloc, Nathalie Sinclair-Desgagne.

Auguste, 25, telah pun berkhidmat di Parlimen sejak itu.

Sinclair-Desgagne mencabar keputusan tersebut selepas satu undi pos penyokong Bloc dipulangkan kerana kesilapan kod pos pada sampul balasan.

Mahkamah rendah sebelum ini memutuskan ia sekadar “kesilapan manusia” dan bukan alasan untuk membatalkan keputusan.

Namun, Mahkamah Agung tidak bersetuju dan pada Jumaat memutuskan bahawa kesilapan itu menjejaskan integriti proses pilihan raya.

Keputusan ini memberi tamparan kepada strategi politik Perdana Menteri Mark Carney, dengan Parti Liberal kini kekurangan tiga kerusi untuk mencapai majoriti di Dewan Rakyat.

Mahkamah menetapkan bahawa kerusi Terrebonne kini dianggap kosong sehingga pilihan raya kecil diumumkan.

Auguste dan Sinclair‑Desgagne dijangka bertembung semula dalam pertandingan yang dijangka sengit, memandangkan kawasan itu secara tradisi merupakan kubu kuat Bloc sebelum kemenangan singkat Auguste.
 

Must Watch Video