NEW YORK: Kru baharu telah dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada Jumaat, membawa empat angkasawan ke orbit susulan kejadian kecemasan di atas stesen itu baru-baru ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Roket Falcon 9 dilancarkan pada 5.15 pagi (1015 GMT) dari Tanjung Canaveral di Florida dengan kru menaiki kapal angkasa Dragon milik SpaceX.
Buat kali pertama dalam sejarah ISS, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) membawa pulang kru lebih awal bulan lepas disebabkan masalah perubatan, yang menyebabkan stesen itu kekurangan kru.
Krew yang tiba itu terdiri daripada angkasawan NASA, Jack Hathaway dan Jessica Meir; angkasawan Rusia, Andrey Fedyaev serta angkasawan ESA (Agensi Angkasa Eropah) Sophie Adenot dari Perancis.
Ini merupakan penerbangan pertama ke ISS bagi Hathaway dan Adenot, manakala bagi Meir dan Fedyaev pula ia merupakan penerbangan kedua mereka. Mereka dijangka tiba di stesen itu pada Sabtu dan akan menjalankan penyelidikan selama kira-kira lapan bulan.
Pada pertengahan Januari, angkasawan AS Zena Cardman dan Michael Fincke, angkasawan Jepun Kimiya Yui, serta angkasawan Rusia Oleg Platonov telah dibawa pulang ke Bumi lebih awal disebabkan isu perubatan.
Butiran lanjut mengenai isu berkenaan dan ahli kru mana yang terkesan tidak didedahkan.
Kepulangan awal itu bermakna hanya angkasawan NASA Christopher Williams serta angkasawan Rusia Sergei Mikayev dan Sergei Kud-Sverchkov yang berada di stesen itu sepanjang beberapa minggu lepas.
Kru antarabangsa telah mendiami dan menjalankan penyelidikan di atas stesen angkasa itu secara berterusan selama kira-kira 25 tahun.
ISS dijadualkan menamatkan operasinya pada 2030 dan akan menjalani proses keluar dari orbit secara terkawal serta mendarat di Lautan Pasifik pada awal 2031.
-- BERNAMA-dpa