Skip to main content

Dunia

Mahkamah Tinggi UK putuskan larangan ke atas Palestine Action tidak sah

Protesters hold signs outside the Royal Courts of Justice, after High Court judges ruled the British government’s decision to designate pro‑Palestinian group Palestine Action as a terrorist organisation unlawful, in London, Britain, February 13, 2026. REUTERS/Jaimi Joy
Para penunjuk perasaan memegang plakad di luar Royal Courts of Justice selepas hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa keputusan kerajaan Britain untuk melabel kumpulan pro-Palestin, Palestine Action, sebagai organisasi pengganas adalah tidak sah, di London, Britain. - Foto REUTERS

LONDON: Larangan kerajaan United Kingdom terhadap kumpulan aktivis Palestine Action disifatkan “gagal dan memakan diri” selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa tindakan mengisytiharkan kumpulan itu sebagai organisasi “pengganas” adalah tidak sah dan tidak seimbang.

Larangan yang dikuatkuasakan pada Jun lalu sebelum ini dikecam pelbagai pihak termasuk ketua hak asasi manusia PBB dan penulis Ireland, Sally Rooney, kerana meletakkan kumpulan itu sebaris dengan ISIL dan al-Qaeda.

Dalam keputusan pada Jumaat, hakim menyatakan langkah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Keir Starmer adalah “tidak seimbang”.

Pengasas bersama Palestine Action, Huda Ammori, menyifatkan keputusan itu sebagai “kemenangan untuk Palestin” dan berkata larangan tersebut hanya menjadikan organisasi itu semakin dikenali.

Ditubuhkan pada 2020, Palestine Action menyasarkan syarikat senjata yang dikaitkan dengan Israel, khususnya Elbit Systems, yang mempunyai beberapa tapak operasi di UK.

Kumpulan itu mendakwa tindakan langsung mereka bertujuan menghentikan senjata digunakan dalam “jenayah perang” oleh Israel.

Aktivis mereka sebelum ini melakukan beberapa serbuan dan vandalisme simbolik menggunakan cat merah.

Puluhan kini ditahan reman, termasuk mereka yang didakwa memecah masuk ke bangunan Elbit di Bristol serta pangkalan udara terbesar UK di Oxfordshire.

Walaupun Mahkamah Tinggi mengesahkan sebahagian tindakan kumpulan itu melibatkan unsur jenayah, hakim menolak justifikasi kerajaan untuk menyamakan mereka dengan organisasi pengganas.

Ribuan orang turut membantah larangan itu, dan hampir 3,000 ditahan kerana membawa plakad “Saya menentang genosid. Saya menyokong Palestine Action.”

Ammori menuduh kerajaan melakukan “kesalahan besar” dengan menahan rakyat sendiri atas alasan yang kini didapati tidak sah.

Namun begitu, larangan tersebut kekal berkuat kuasa sementara kerajaan memfailkan rayuan.

Menteri Dalam Negeri, Shabana Mahmood, menyatakan kekecewaan terhadap keputusan itu dan berhasrat meneruskan rayuan, tindakan yang mendapat kritikan daripada ahli politik termasuk John McDonnell yang menegaskan hak untuk berhimpun dan bersuara perlu dihormati.

Ammori pula yakin keputusan akhir tetap akan memihak kepada mereka.

“Kami menang hari ini di Mahkamah Tinggi. Jika mereka rayu, kami akan menang sekali lagi,” katanya.

 

Must Watch Video