Skip to main content

Dunia

Pakistan usaha pertemukan AS, Iran secara bersemuka di Islamabad

The Prime Minister's House building, as delegations from the United States and Iran are expected to hold high-stakes talks, in Islamabad, Pakistan, April 11, 2026. REUTERS/Akhtar Soomro
Mengikut atur cara, delegasi Iran yang diketuai Speaker Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf dijadual mengadakan pertemuan terlebih dahulu dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif di kediaman rasminya (foto), diikuti oleh delegasi AS pimpinan Naib Presiden JD Vance. -Gambar fail/Reuters

ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan sedang mempergiat usaha di peringkat tertinggi bagi memastikan Amerika Syarikat (AS) dan Iran mengadakan rundingan secara bersemuka dalam misi menamatkan peperangan selama enam minggu yang melanda Asia Barat.

Menurut sumber diplomatik, pelan rundingan diatur supaya dimulakan dengan acara berjabat tangan antara ketua delegasi kedua-dua negara, atau dengan kehadiran pegawai kanan Pakistan sebagai saksi, lapor Al Jazeera.

Mengikut atur cara, delegasi Iran yang diketuai Speaker Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf dijadual mengadakan pertemuan terlebih dahulu dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif di kediaman rasminya, diikuti oleh delegasi AS pimpinan Naib Presiden JD Vance.

Rundingan yang diharapkan secara langsung itu dijadual bermula jam 11.30 pagi waktu GMT (7.30 malam waktu Malaysia) dan dijangka berlarutan sehingga lewat malam.

Sumber itu menyatakan, sekiranya Pakistan berjaya mempertemukan kedua-dua pihak secara langsung, ia akan menjadi satu kejayaan besar yang membolehkan lebih banyak kemajuan dicapai dalam proses damai tersebut.

Walau bagaimanapun, sekiranya usaha itu gagal, rundingan akan dijalankan secara tidak langsung menerusi pengantara dan hanya dijadualkan berlangsung untuk hari ini sahaja.

Dunia kini menumpukan perhatian sepenuhnya ke arah Islamabad bagi melihat sama ada diplomasi saat akhir ini mampu menghasilkan gencatan senjata yang mampan atau konflik tersebut akan terus meruncing.

Must Watch Video