Skip to main content

Dunia

Israel rancang lebih 2,700 unit penempatan haram baharu di Tebing Barat

tebing barat, AP
Lebih 542 penempatan haram dan pos luar telah diwujudkan di seluruh Tebing Barat yang diduduki, menempatkan lebih 780,000 penjajah Israel. - Gambar fail/AP

RAMALLAH: Israel sedang memajukan rancangan untuk lebih 2,700 unit penempatan haram baharu di seluruh Tebing Barat yang diduduki, kata sebuah badan kerajaan Palestin pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Suruhanjaya Menentang Tembok dan Penempatan Palestin berkata Majlis Perancangan Tinggi Israel, yang beroperasi di bawah jabatan Pentadbiran Awam tentera Israel, dijadualkan bermesyuarat pada Rabu untuk membincangkan pakej projek penempatan baharu.

Dalam satu kenyataan, suruhanjaya itu menyatakan rancangan itu termasuk sekurang-kurangnya 2,721 unit penempatan baharu di beberapa penempatan di seluruh Tebing Barat yang diduduki berserta projek pengezonan dan struktur yang bertujuan meluaskan sempadan penempatan selain mengukuhkan rangka kerja perundangan dan perancangan mereka.

Menurut suruhanjaya itu, projek yang dicadangkan termasuk 1,006 unit di penempatan Givat berhampiran Bethlehem, 922 unit di penempatan Har Bracha di selatan Nablus, 455 unit di penempatan Mevo Dotan di barat Jenin dan 234 unit di penempatan Kiryat Arba di timur Hebron.

Menurut suruhanjaya itu, mesyuarat berkenaan juga akan membincangkan rancangan berkaitan sempadan pembinaan, perubahan guna tanah dan peraturan bangunan di beberapa penempatan.

Projek-projek tersebut mencerminkan usaha berterusan Israel untuk meluaskan penempatan sedia ada dan mewujudkan fakta baru di lapangan di wilayah Palestin yang diduduki.

Suruhanjaya memberi amaran bahawa rancangan itu akan membawa kepada rampasan tanah Palestin, memperdalam pemecahan geografi antara masyarakat Palestin dan mengukuhkan apa yang disifatkannya sebagai dasar pengilhakan secara beransur-ansur Israel di Tebing Barat yang diduduki.

Menurut data suruhanjaya setakat 30 Mac, lebih 542 penempatan haram dan pos luar telah diwujudkan di seluruh Tebing Barat yang diduduki, menempatkan lebih 780,000 penjajah Israel.

Ini termasuk 192 penempatan haram dan 350 pos luar, termasuk lebih 165 yang dibangunkan sejak Oktober 2023 dan 59 pada 2025.

-- BERNAMA-ANADOLU 

Must Watch Video

Advertisement