Skip to main content

Sukan

Aruwin pindahkan pangkalan latihannya ke Amerika Syarikat

Aruwin Salehhuddin -- Instagram
Aruwin, yang kini sedang bercuti seketika di Malaysia sambil menjalani proses pemulihan kecederaan pada lutut kanannya. - Foto [email protected]

KUALA LUMPUR: Selepas lapan tahun menjalani latihan di Eropah, atlet ski Alpine negara Aruwin Salehhuddin, akan memindahkan pangkalan latihannya ke Amerika Syarikat (AS) bermula Oktober ini.

Aruwin, 22, berkata keputusan tersebut banyak dipengaruhi oleh hasratnya untuk melanjutkan pengajian di Universiti Boston dan beliau akan mengikuti pengajian dalam bidang Perhubungan Awam selama empat tahun.

“Saya akan belajar di AS, jadi agak sukar untuk saya belajar di sana dan pada masa yang beraksi dalam kejohanan dan latihan di Eropah.

“Perjalanan ulang-alik itu akan menelan kos yang terlalu tinggi bagi saya...hampir mustahil untuk saya melakukannya,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Aruwin, yang sebelum ini menjalani latihan secara intensif di Innsbruck, Austria, berkata perpindahan itu turut mendorong beliau untuk menamatkan kerjasama dengan bekas jurulatihnya dari Belgium Kai Alaerts dan melantik jurulatih dari Amerika Syarikat Brandy Barna, sebagai mentor baharunya.

Aruwin menyifatkan Barna sebagai seorang jurulatih yang bagus, selepas banyak atlet berjaya meningkatkan prestasi di bawah bimbingannya, selain beberapa rakan rapatnya turut memberikan pandangan positif mengenai gaya kejurulatihan beliau.

Atlet yang telah dua kali beraksi di Sukan Olimpik Musim Sejuk itu berkata beliau tertarik dengan pendekatan kejurulatihan Barna, kerana jurulatih tersebut mengamalkan komunikasi yang terbuka, namun pada masa sama mampu mendorong atletnya mencapai prestasi yang lebih tinggi.

Sementara itu, Aruwin mengakui proses peralihan tersebut bukan sesuatu yang mudah, kerana beliau kini perlu mengimbangi pengajian dan latihan di beberapa lokasi berbeza di Amerika Syarikat.

“Saya juga akan tinggal di Colorado, jadi keadaan ini agak bercampur-campur kerana jurulatih saya berasal dari California, saya tinggal di Colorado dan universiti saya pula berada di Boston, Massachusetts. Jadi saya akan berulang-alik antara ketiga-tiga lokasi itu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perbezaan keadaan luncur salji antara Eropah dan Amerika Syarikat, beliau berkata permukaan salji di kedua-dua rantau itu mempunyai perbezaan yang ketara.

“Salji di Eropah kebiasaannya ialah salji buatan, kerana mereka tidak menerima jumlah salji yang mencukupi sepanjang musim.

“Sebaliknya, di Amerika Syarikat biasanya terdapat salji semula jadi yang mencukupi untuk menutupi kawasan luncur, jadi pengalaman dan rasanya memang sangat berbeza,” katanya.

Aruwin, yang kini sedang bercuti seketika di Malaysia sambil menjalani proses pemulihan kecederaan pada lutut kanannya, dijadualkan kembali ke Austria pada penghujung bulan ini untuk menyertai kem latihan ski dalaman.

Beliau kemudian akan ke New Zealand pada Ogos, bagi menyertai pertandingan pertamanya di bawah bimbingan jurulatih baharu itu.

Aruwin dijangka beraksi dalam acara slalom dan giant slalom.

Sementara itu, Aruwin mengakui kos yang tinggi dalam sukan musim sejuk merupakan antara cabaran terbesar untuk mengekalkan kerjayanya pada peringkat antarabangsa.

Walaupun berdepan cabaran tersebut, beliau berharap sokongan yang lebih besar daripada penaja korporat serta rakyat Malaysia, yang akan terus membantu merealisasikan perjalanan dan aspirasinya dalam sukan itu.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement