MOSCOW: Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran bahawa situasi kemanusiaan di Iran semakin meruncing apabila serangan merebak ke kawasan lebih luas dan angka korban awam terus meningkat, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Antara 17 Mac hingga 3 April, situasi kemanusiaan di Iran semakin merosot apabila permusuhan merebak ke kawasan yang lebih besar, dengan serangan udara menjejaskan wilayah Tehran, Isfahan, Khuzestan, Fars, Markazi, Yazd, Bushehr, Azerbaijan Timur, Azerbaijan Barat, Kurdistan, Lorestan, Ilam dan Kermanshah,” menurut pejabat itu dalam satu kenyataan pada Isnin.
Dari 28 Feb hingga 30 Mac, lebih 2,100 orang awam terbunuh, lebih 27,900 cedera, manakala 3.8 juta orang terjejas akibat konflik berkenaan, menurut kenyataan itu.
Persatuan Bulan Sabit Merah Iran pula melaporkan sebanyak 115,193 unit infrastruktur awam mengalami kerosakan, termasuk 763 sekolah.
"Angka korban membabitkan orang awam terus meningkat dengan ketara apabila serangan dilaporkan berlaku ke atas lapangan terbang, hospital, kawasan kediaman, pasar, sekolah, tapak perindustrian dan lokasi warisan budaya di hampir semua wilayah yang terjejas,” menurut kenyataan itu.
Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei terbunuh pada hari pertama operasi ketenteraan dan negara itu kemudiannya mengisytiharkan tempoh berkabung selama 40 hari.
Presiden Rusia Vladimir Putin menyifatkan pembunuhan Khamenei sebagai pencabulan undang-undang antarabangsa.
Kementerian Luar Rusia mengecam operasi AS-Israel dan menggesa supaya ketegangan segera diredakan serta permusuhan ditamatkan.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI