Skip to main content

Dunia

Lima maut dalam insiden rempuhan di perhimpunan politik di timur Nigeria

81549596579_TBNIFERIAPRESIDENCY.jpg
Insiden rempuhan pada Khamis yang membabitkan ribuan penyokong dalam satu perhimpunan politik bagi memilih semula Presiden Nigeria Muhammadu Buhari telah menyebabkan lima orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera di timur negeri Taraba.

Menurut agensi berita China Xinhua, Dorcas Philemon, yang merupakan jurucakap sebuah hospital pakar di mana mayat mangsa disimpan, telah mengesahkan insiden itu kepada wartawan di Jalingo, ibu kota Taraba.

Televisyen dan media sosial menyiarkan imej beribu-ribu orang telah berhimpun di sebuah stadium di Jalingo bagi menunjukkan sokongan kepada Buhari dalam satu majlis kempen yang dihadiri ahli politik kanan.

Buhari telah meluahkan kesedihan berhubung kehilangan nyawa dalam perhimpunan itu melalui satu kenyataan.

Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap sokongan besar-besaran yang diterima dari seluruh negara dan menyeru agar para penyokongnya bertenang bagi mengelak insiden tragik itu berulang, serta menasihati agar pengurusan kumpulan ramai di tapak perhimpunan dipertingkat.

"Saya mahu mereka terus bernafas dan menyaksikan dividen tadbir urus bermakna yang bakal dilaksana oleh pentadbiran Kongres Kemajuan Semua (APC) apabila mereka memperbaharui mandat kami," katanya.

-- BERNAMA



Must Watch Video