SYDNEY: Seorang lelaki berusia 42 tahun telah ditahan selepas didakwa menggunakan kon trafik untuk merosakkan 35 buah kereta di kawasan parkir Star Casino, Pyrmont, menyebabkan kerugian dianggarkan sekitar AUD$100,000 (RM277,000)
Menurut polis, insiden bermula sekitar 3.50 pagi Isnin, apabila suspek terlebih dahulu merosakkan palang masuk parkir sebelum menyerang puluhan kereta tidak berpenghuni di dalam kompleks tersebut.
Polis yang tiba di lokasi segera menutup kawasan kejadian dan memulakan siasatan.
Suspek ditemui berhampiran lokasi kejadian dan diberkas.
Dia kemudian dibawa ke Balai Polis Day Street dan dihadapkan dengan 37 pertuduhan memusnahkan atau merosakkan harta benda.
Lelaki itu tidak diberi jamin dan dijadualkan hadir ke Mahkamah Tempatan Downing Centre pada hari yang sama.
Dalam kenyataan ringkas, jurucakap Star Casino menyifatkan kejadian itu sebagai “insiden terpencil” dan enggan mengulas lanjut kerana perkara tersebut kini di bawah siasatan polis.