PETALING JAYA: Malaysia dan Thailand terus memperkukuh hubungan dua hala melalui diplomasi budaya dengan tradisi serta hubungan rakyat yang dikongsi bersama, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.
Beliau berkata hubungan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara itu melangkaui perjanjian rasmi, sebaliknya berakar umbi daripada interaksi rentas sempadan selama beberapa generasi.
“Selama beberapa generasi, rakyat kita bergerak merentasi sempadan, terutamanya di utara Semenanjung. Hubungan ini bukan sesuatu yang termaktub dalam perjanjian, ia adalah sesuatu yang dihayati setiap hari dan secara semula jadi,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada pelancaran rasmi Festival Songkran Perdana Malaysia 2026 di sini pada Jumaat.
Majlis itu disempurnakan oleh Duta Besar Thailand ke Malaysia Lada Phumas.
Gobind, yang juga Ahli Parlimen Damansara berkata hubungan sedemikian mencerminkan kekuatan diplomasi budaya yang berkembang dari semasa ke semasa melalui kepercayaan, rasa hormat dan pengalaman bersama.
“Disebabkan hubungan yang kukuh itu, kerjasama antara Malaysia dan Thailand berkembang dalam pelbagai aspek. Perdagangan antara negara kita terus meningkat. Aliran pelancongan bergerak ke kedua-dua arah. Ahli perniagaan bekerjasama, melabur dan mewujudkan peluang bersama.
“Apa yang bermula sebagai persefahaman budaya sering menjadi kekuatan ekonomi dan kepercayaan diplomatik,” katanya.
Gobind berkata platform seperti Festival Songkran memainkan peranan penting dalam memperkukuh hubungan itu dengan menghimpunkan komuniti di samping mempamerkan nilai dan tradisi bersama.
“Kepada rakan-rakan dari Thailand dan semua yang meraikan Songkran, terima kasih kerana berkongsi tradisi yang indah ini bersama kami dan terima kasih kerana menganjurkan festival ini di kawasan Parlimen Damansara. Semoga festival ini membawa keamanan, kebahagiaan dan permulaan baharu kepada anda,” katanya.
Festival Songkran Perdana Malaysia yang dianjurkan oleh Kedutaan Diraja Thailand di Kuala Lumpur dengan kerjasama EQ Solutions, kembali berlangsung dari 9 hingga 19 April di Aras Bawah Forecourt, Tempat Letak Kereta Terbuka 1 Utama Shopping Centre, dengan lebih 80,000 pengunjung dijangka hadir.
Kini memasuki tahun keempat berturut-turut di lokasi itu, Songkran menandakan permulaan sambutan Tahun Baharu Thai secara tradisional dan melambangkan pembaharuan, keberkatan serta perpaduan.
Dikenali di seluruh dunia dengan tradisi percikan air yang meriah, festival itu menghimpunkan komuniti dalam semangat perayaan dan muhibah.
-- BERNAMA