ISTANBUL: Ketua Suruhanjaya Keselamatan Kebangsaan di Parlimen Iran berkata satu cadangan strategik berkaitan Selat Hormuz mungkin membolehkan kerajaan bekerjasama dengan Oman dan memperluas kawalan ke atas laluan air utama itu, yang menjadi isu hangat dalam peperangan yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel baru-baru ini.
Bercakap melalui penyiar rasmi IRIB, Ebrahim Azizi berkata cadangan itu sedang dikaji oleh SEBUAH suruhanjaya parlimen sebelum diserahkan kepada persidangan penuh, lapor Anadolu Ajansi.
Beliau berkata kerangka kerja itu hanya akan menjadi mandatori selepas mendapat kelulusan parlimen.
Kemungkinan Kerjasama dengan Oman
Azizi berkata cadangan itu akan membenarkan kerajaan, jika perlu dan tertakluk kepada kelulusan parlimen, untuk berunding dengan Oman bagi merangka satu perjanjian.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kerjasama sedemikian tidak melibatkan Oman dalam menentukan masa depan Selat Hormuz, sebaliknya terhad kepada aspek tertentu dalam rangka kerja yang lebih luas.
Kawalan Selat Hormuz
Beliau berkata jika diluluskan, Selat Hormuz akan berada di bawah "kawalan menyeluruh dan penuh" angkatan tentera serta institusi keselamatan Iran - satu daripada beberapa peruntukan yang berkemungkinan besar akan mengundang tentangan daripada pihak AS.
Azizi menambah bahawa keadaan di selat berkenaan "tidak akan kembali kepada keadaan sebelum perang," sekali gus memberi isyarat perubahan kekal dalam cara laluan air itu diuruskan.
Beliau turut menyatakan bahawa pergerakan melalui selat itu sudah pun dipantau rapi oleh tentera Iran.
Sekatan Kapal
Azizi berkata cadangan itu termasuk peruntukan untuk melarang laluan kapal yang dikaitkan dengan negara yang dianggap bermusuh dengan Iran, termasuk Israel.
Menurutnya, larangan itu terpakai kepada kapal yang pemilikan, bendera, atau kargonya mempunyai kaitan dengan negara terbabit, selain kapal tentera atau kapal yang terlibat dalam aktiviti perisikan yang dianggap memudaratkan keselamatan nasional Iran.
Beliau menambah bahawa penentuan ancaman sedemikian akan dilakukan oleh angkatan tentera.
Azizi juga menyatakan bahawa kapal yang dikaitkan dengan Israel, sama ada tentera atau awam, serta kapal yang dalam perjalanan ke atau dari Israel, akan dilarang daripada melalui Teluk Parsi dan Selat Hormuz jika cadangan itu diluluskan.
Peruntukan Ekonomi
Beliau berkata cadangan itu turut merangkumi peruntukan untuk menggunakan mata wang nasional Iran, rial, dalam pengaturan kewangan berkaitan.
Ketegangan serantau memuncak sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb lepas, yang mengorbankan lebih 3,000 orang termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Tehran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, Jordan, Iraq, serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS. Iran turut menyekat pergerakan kapal melalui Selat Hormuz.
AS dan Iran mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu pada Selasa lepas yang diusahakan oleh Pakistan, sebagai langkah ke arah kemungkinan perjanjian lebih luas bagi menghentikan konflik yang dilancarkan AS dan Israel terhadap Iran yang mengakibatkan ribuan kematian serta kecederaan.
-- BERNAMA-ANADOLU