PUTRAJAYA: Semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) perlu lebih berdisiplin dalam menentukan keutamaan projek bagi memastikan setiap perbelanjaan memberi nilai dan impak langsung kepada rakyat, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata penekanan itu dibuat dalam Mesyuarat Pengurusan bersama Ketua Jabatan dan Agensi di JPM yang dipengerusikannya pada Jumaat, yang turut membincangkan isu dapatan audit, pematuhan serta prestasi kewangan dan projek pembangunan.
“Saya turut menegaskan agar semua agensi menilai semula keutamaan projek dengan lebih berdisiplin serta membezakan antara must have vs nice to have.
"Setiap perbelanjaan dan pelaksanaan projek mesti berlandaskan nilai kepada rakyat, agar setiap usaha yang digerakkan benar-benar memberi manfaat yang dirasai secara langsung,” katanya dalam hantaran di laman Facebook pada Jumaat.
Shamsul Azri berkata JPM dan seluruh agensi di bawahnya juga perlu menjadi contoh teladan terbaik dalam semua aspek dan memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi impak nyata.
-- BERNAMA