Skip to main content

Dunia

Lebih 1,900 kanak-kanak dilaporkan hilang di Jerman

51745233760_tbChildabusegener.jpg
Kebanyakan kes kehilangan kanak-kanak melibatkan penculikan oleh ibu bapa, kejadian melarikan diri berulang atau pelarian bawah umur tanpa penjaga. - Gambar hiasan

BERLIN: Lebih 1,900 kanak-kanak kini disenaraikan sebagai hilang di Jerman, meningkat sedikit berbanding setahun lepas, menurut data Pejabat Polis Jenayah Persekutuan (BKA), lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Sehingga 1 Mei, pejabat itu merekodkan 1,933 kes kehilangan kanak-kanak yang masih belum selesai di seluruh negara, berbanding 1,810 kes belum selesai pada tempoh sama tahun sebelumnya, menurut agensi itu kepada dpa menjelang Hari Kanak-Kanak Hilang Antarabangsa pada 25 Mei.

Angka itu merangkumi kes kehilangan baharu serta kes yang masih belum diselesaikan sejak beberapa tahun lalu.

Menurut BKA, sebahagian besar kes berjaya diselesaikan.

Pada 2025, pihak berkuasa merekodkan sejumlah 19,253 kes kehilangan kanak-kanak, dengan 18,509 daripadanya berjaya diselesaikan, bersamaan kadar penyelesaian sebanyak 96.5 peratus.

Sebagai perbandingan, kira-kira 15,500 kanak-kanak dilaporkan hilang pada 2018.

“Walaupun jumlah kes meningkat dengan ketara, kadar penyelesaian kekal tinggi secara konsisten,” kata jurucakap polis.

Data itu merujuk kepada kanak-kanak berusia sehingga 13 tahun.

“Secara umumnya, 96 peratus kes diselesaikan dalam tempoh tiga bulan,” katanya.

Menurut BKA, kebanyakan kes kehilangan kanak-kanak melibatkan penculikan oleh ibu bapa, kejadian melarikan diri berulang atau pelarian bawah umur tanpa penjaga.

“Pertikaian dengan ibu bapa juga boleh menjadi antara punca,” tambah jurucakap itu.

Polis berkata hanya sebahagian kecil kes melibatkan kemalangan atau jenayah yang menimbulkan kebimbangan bahawa kanak-kanak hilang itu berada dalam keadaan tidak berdaya atau mungkin telah meninggal dunia.

Kes kehilangan kanak-kanak tertua yang masih belum selesai di Jerman direkodkan sejak 1957.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement