TEHRAN: Speaker Parlimen Iran pada Ahad (29 Mac) menuduh Amerika Syarikat merancang serangan darat walaupun bercakap tentang diplomasi, selepas sebuah kapal perang AS dengan sekitar 3,500 anggota tentera tiba di Asia Barat.
Kenyataan Mohammad Bagher Ghalibaf itu muncul selepas lebih sebulan pengeboman udara terhadap Iran oleh pasukan AS dan Israel serta menjelang rundingan antara pemain utama serantau pada Isnin.
Perang tersebut telah meningkat menjadi konflik serantau apabila Iran membalas dengan serangan ke atas negara-negara Teluk, menyebabkan pasaran tenaga bergoncang dan mengancam ekonomi dunia.
“Musuh secara terbuka menghantar mesej rundingan dan dialog, tetapi secara rahsia merancang serangan darat,” kata Ghalibaf dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi IRNA.
“Orang kami sedang menunggu ketibaan askar-askar Amerika di darat untuk membakar mereka dan menghukum sekutu serantau mereka sekali dan untuk selamanya,” tambahnya.
USS Tripoli, sebuah kapal serangan amfibia yang membawa kira-kira 3,500 marin dan kelasi, tiba di Asia Barat pada Jumaat.
The Washington Post melaporkan, Pentagon sedang menyediakan rancangan untuk operasi darat selama beberapa minggu — berkemungkinan termasuk serangan ke Pulau Kharg dan lokasi berhampiran Selat Hormuz — walaupun Presiden AS, Donald Trump masih belum meluluskan sebarang penempatan.
Iran berkata, ia telah menyekat Selat Hormuz laluan perkapalan penting yang menyumbang kepada suku daripada perdagangan minyak dunia melalui laut, daripada kapal-kapal musuh.
Trump berulang kali bercakap mengenai hubungan diplomatik dengan Iran, walaupun dakwaan itu telah dinafikan oleh Tehran.
Utusan Khas Trump, Steve Witkoff berkata, pertemuan AS-Iran mungkin berlangsung tidak lama lagi dan mempromosikan pelan 15 mata yang dikatakan Washington “boleh menyelesaikan semuanya.”
Pakistan, yang bertindak sebagai perantara antara Washington dan Tehran, akan menjadi tuan rumah kepada Menteri-Menteri luar Arab Saudi, Türkiye dan Mesir di Islamabad pada Isnin untuk membincangkan krisis tersebut.
Seluruh Tehran bergegar
Di Tehran, dua letupan menggegarkan bandar pada awal Ahad, kata seorang wartawan AFP, walaupun tidak jelas apakah sasaran sebenar.
Saluran berita Qatar, Al Araby berkata, sebuah peluru berpandu Israel mengenai bangunan yang menempatkan pejabatnya di bandar itu.
Rakaman dari dalam pejabat menunjukkan tingkap pecah dan serpihan kaca bertaburan.
Di luar, imej menunjukkan jalan dipenuhi runtuhan dan kerosakan pada bangunan-bangunan sekeliling.
“Saya rindukan tidur malam yang aman,” kata seorang artis di Tehran kepada AFP, sambil mengatakan serangan waktu malam itu “begitu kuat sehingga terasa seperti seluruh Tehran bergegar.”
Farzaneh, seorang wanita berusia 62 tahun dari bandar Ahvaz di barat Iran, yang dihubungi AFP dari Paris, berkata: “Setiap hari orang bangun dengan kebimbangan tentang masa depan yang tidak pasti.”
“Perang pada dunia hari ini dan masa hadapan bukanlah sesuatu yang boleh dianggap sebagai penyelesaian sebenar kepada masalah. Tiada siapa yang benar-benar menginginkan perang,” katanya.
Media rasmi Iran melaporkan, serangan AS-Israel turut mengenai sebuah dermaga di bandar pelabuhan Bandar Khamir, berhampiran Selat Hormuz.
Ghalibaf pada Ahad menyeru perpaduan rakyat Iran, mengatakan negara itu berada dalam “perang global besar” yang berada pada “tahap paling kritikal.”
“Kami pasti bahawa kami boleh menghukum Amerika Syarikat, membuatnya menyesal menyerang Iran, dan mengamankan hak sah kami,” tegasnya.
Serangan ke atas industri di Teluk
Iran melancarkan peluru berpandu dan dron ke atas kilang milik dua pengeluar aluminium terbesar dunia di Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu, kata Pengawal Revolusi pada Ahad, mensasarkan apa yang mereka gambarkan sebagai industri berkaitan ketenteraan AS.
Emirates Global Aluminium berkata, serangan Iran mencederakan enam orang dan menyebabkan kerosakan besar pada kilangnya, manakala media Bahrain melaporkan dua pekerja Aluminium Bahrain cedera dalam serangan kedua.\
Ketika kebimbangan konflik semakin meluas meningkat, kumpulan Houthi Yaman pada Sabtu mendakwa, serangan pertama mereka dalam perang itu, melancarkan “rentetan peluru berpandu jelajah dan dron” ke atas lokasi strategik di Israel.
Serangan-serangan itu menimbulkan kebimbangan mengenai perang yang mungkin merebak ke Laut Merah, dengan Arab Saudi mengalihkan sebahagian besar eksport minyaknya ke kawasan tersebut untuk mengelakkan Hormuz.
Dalam perang Israel baru-baru ini di Gaza, kumpulan Houthi yang mendakwa solidariti dengan Palestin, menyerang kapal-kapal di Laut Merah dan Teluk Aden, memaksa syarikat-syarikat mengambil laluan jauh yang lebih mahal.
Jiran Iran, Iraq, juga semakin terlibat dalam konflik tersebut.
Di Syria, pihak berkuasa pada Ahad berkata, mereka telah menangkis serangan dron dari Iraq yang menyasarkan pangkalan tentera AS, selepas beberapa siri serangan yang didakwa dilakukan kumpulan pro-Tehran Iraq. - Agensi