Skip to main content

Dunia

Konflik Asia Barat: Pakistan sahkan jadi perantara utama rundingan damai AS–Iran

KUALA LUMPUR, July 11 — Pakistan’s Deputy Prime Minister and Foreign Minister Mohammad Ishaq Dar at the 32nd ASEAN Regional Forum, in conjunction with the 58th ASEAN Foreign Ministers’ Meeting (AMM) and related meetings at the Kuala Lumpur Convention Centre today.  — fotoBERNAMA (2025) COPYRIGHT RESERVED
Ishaq Dar (foto) berkata Islamabad kini bertindak menyampaikan mesej di antara kedua-dua pihak dalam usaha diplomatik yang turut disokong Turkiye dan Mesir. -Foto fail/Bernama

ISLAMABAD: Pakistan hari ini mengesahkan peranannya sebagai perantara utama dalam rundingan damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran bagi menamatkan konflik yang berlarutan di Asia Barat.

Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar, berkata Islamabad kini bertindak menyampaikan mesej di antara kedua-dua pihak dalam usaha diplomatik yang turut disokong Turkiye dan Mesir.

Beliau memaklumkan bahawa AS telah mengemukakan 15 perkara penting untuk dipertimbangkan kepimpinan Iran, dan rundingan tidak langsung itu sedang berlangsung menerusi saluran komunikasi yang diselaras Pakistan.

“Terdapat spekulasi yang tidak perlu dalam media mengenai rundingan damai ini. Hakikatnya, rundingan tidak langsung antara AS dan Iran sedang berlangsung melalui mesej yang disampaikan oleh Pakistan,” kata Dar menerusi satu hantaran di akaun X miliknya, hari ini.

 

 

Ishaq Dar menegaskan bahawa negara-negara seperti Turkiye dan Mesir turut memberi sokongan kepada usaha menghidupkan kembali proses damai bagi memastikan kestabilan rantau berkenaan dapat dipulihkan.

“Pakistan kekal komited sepenuhnya untuk mempromosikan keamanan dan terus berusaha sedaya upaya bagi memastikan kestabilan di rantau ini dan global.

"Dialog dan diplomasi adalah satu-satunya jalan penyelesaian,” katanya lagi.

Sebelum ini, laporan media antarabangsa mendedahkan beberapa pemimpin kanan Iran, termasuk Menteri Luar Abbas Araghchi dan Speaker Mohammad Baqer Qalibaf, telah dikeluarkan sementara daripada senarai sasaran Israel untuk memberi ruang kepada proses diplomasi yang diterajui Islamabad.

Usaha pengantaraan ini dilihat sebagai perkembangan paling signifikan setakat ini dalam menghentikan serangan udara dan pertempuran yang telah meragut ribuan nyawa sejak konflik tercetus.

Must Watch Video