Skip to main content

Dunia

Kes ebola di DR Congo melebihi 100 susulan peningkatan jangkitan

FILE - A health worker sprays disinfectant on his colleague after working at an Ebola treatment center in Beni, eastern Congo, Sept 9, 2018. (AP Photo/Al-hadji Kudra Maliro, File)
Wabak ebola masih aktif di tiga wilayah iaitu Ituri, North Kivu dan South Kivu. - Foto fail/AP

KIGALI: Republik Demokratik Congo merekodkan lebih 100 kes disahkan penyakit virus ebola ketika jangkitan terus meningkat, lapor Anadolu Ajansi memetik laporan pihak berkuasa tempatan pada Ahad.

Laporan dikeluarkan Kementerian Komunikasi menunjukkan setakat 23 Mei, virus itu menjejaskan 11 zon kesihatan di Congo sejak wabak dikesan pada 15 Mei di wilayah Ituri, dengan lebih 900 kes disyaki direkodkan.

Wabak ebola masih aktif di tiga wilayah iaitu Ituri, North Kivu dan South Kivu.

“Pihak berkuasa kesihatan terus menjalankan pemantauan, saringan dan aktiviti kesedaran di kawasan terjejas. 

"Mengambil langkah berjaga-jaga dan pematuhan terhadap langkah pencegahan kekal penting,” menurut kementerian itu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya tujuh kematian disahkan di Congo.

Di Uganda, tiga kes baharu diumumkan pada Sabtu, menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan kepada lima, menurut Kementerian Kesihatan negara itu.

Pihak berkuasa Congo menggantung aktiviti sosial di Ituri, pusat penularan wabak itu termasuk kegiatan sukan, bagi mencegah penyebaran Ebola.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC), 10 negara termasuk Rwanda, Kenya, Tanzania, Angola, Burundi, Republik Afrika Tengah, Republik Congo, Ethiopia, Sudan Selatan dan Zambia berdepan risiko penularan wabak Ebola.

WHO menaikkan tahap amaran kepada “sangat tinggi”, manakala beberapa negara jiran Congo memperketat langkah pencegahan bagi menghalang penularan virus itu, termasuk mengehadkan perjalanan dari Congo.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement