PHNOM PENH: Kemboja pada Selasa menolak dakwaan negara itu menutup sementara lapangan terbang dan meletakkan pusat pemeriksaan sempadan darat di bawah sekatan, lapor Xinhua.
Menurut Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan, maklumat telah tersebar di media sosial pada Isnin yang mendakwa lapangan terbang antarabangsa Kemboja ditutup buat sementara waktu kepada semua pelancong yang memasuki negara itu dan pusat pemeriksaan sempadan darat akan diletakkan di bawah sekatan lebih ketat mulai 26 Mei 2026.
Hantaran itu selanjutnya mendakwa semua warga asing di bawah umur 40 tahun, tanpa mengira jantina, akan dihalang daripada memasuki Kemboja, walaupun mereka memiliki visa atau dokumen perniagaan yang sah.
Kementerian Dalam Negeri "dengan tegas menolak dakwaan rekaan ini dan menganggap penyebaran sedemikian sebagai maklumat palsu dan mengelirukan bertujuan memesongkan kebenaran, mewujudkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat antarabangsa, serta merosakkan reputasi Kemboja sebagai sebuah negara yang tidak mendiskriminasi mana-mana kewarganegaraan dalam hubungan antarabangsanya,” menurut kenyataan itu.
"Kementerian ingin menjelaskan bahawa Polis Imigresen Kemboja tidak mempunyai dasar yang menyekat atau melarang warga asing yang didokumenkan secara sah di bawah umur 40 tahun daripada memasuki Kemboja," tambah kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, semua warga asing yang memenuhi syarat kemasukan yang sah terus dialu-alukan ke Kemboja, terutamanya pelancong, pelabur, ahli perniagaan, peniaga dan pekerja asing lain.
Kenyataan itu memaklumkan semua pusat pemeriksaan sempadan antarabangsa utama di seluruh Kemboja, termasuk kedua-dua pintu masuk udara dan darat, beroperasi seperti biasa dan terus memproses ketibaan dan pelepasan mengikut prosedur standard.
"Tiada perubahan atau sekatan yang menjejaskan perjalanan warga asing yang memasuki atau meninggalkan Kemboja," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA-XINHUA